KPKT kesal tindakan sabotaj lif PPR
PETALING JAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengenal pasti wujud unsur jenayah terhadap kerja pembaikan lif di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1.
Menterinya, Tan Sri Noh Omar, berkata ada pihak tidak bertanggungjawab memotong kabel dengan niat bukan mencuri, sekali gus membabitkan unsur sabotaj.
Katanya, kerajaan terpaksa menanggung kos kerugian berjumlah RM200,000 ekoran sikap tidak bertanggungjawab penduduk.
"Kita sudah membuat 10 laporan polis sejak beberapa bulan lalu, namun sehingga kini tiada apa-apa tindakan.
"Adakah ini berkaitan unsur politik selepas KPKT berusaha mengambil alih kawasan ini untuk dibaiki," katanya pada sidang media sempena lawatan kerjanya ke PPR Taman Putra Damai Lembah Subang 1, di sini, hari ini.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan surat tawaran unit rumah kosong yang sudah dibaiki kepada 10 penduduk di sini.
Noh berkata, walaupun ada perbezaan politik, rakyat tidak seharusnya menjadi mangsa dan berharap ada pemantauan dilakukan selepas ini.
Beliau berkata, kerajaan meluluskan peruntukan RM28 juta membabitkan kos membaiki 23 lif termasuk penyediaan sistem kamera litar tertutup (CCTV), akses kad dan prasarana seperti lampu serta kipas di rumah PPR yang terbengkalai.
"Daripada jumlah peruntukan berkenaan, sebanyak RM7.9 juta digunakan untuk membaik pulih 224 unit kosong di PPR ini.
"KPKT turut melantik kontraktor pengurusan Syarikat Intra Harta dengan bayaran RM3 juta bagi memastikan PPR ini berada dalam keadaan bersih dan selamat dengan wujudnya kawalan keselamatan," katanya.
Beliau berkata, penduduk PPR Lembah Subang 1 turut menikmati kemudahan tadika KEMAS, pembinaan parkir bertingkat yang sedang dirancang pembinaannya, penambahan rumah sampah, penyediaan 21 kiosk solar, Kedai Rakyat 1Malaysia 2.0 dan pusat latihan Giat MARA yang antaranya menawarkan kursus membaiki motosikal dan perpaipan.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment