TN50 bawa aspirasi baharu anak muda
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata siri Dialog Transformasi Nasional (TN50) yang diadakan sejak tahun lalu, memberikan keyakinan kukuh dalam dirinya bahawa generasi muda bukan saja berupaya membawa kejayaan kepada negara, tetapi mahu melahirkan Malaysia sebagai sebuah negara lebih hebat.
Katanya, proses TN50 yang bermula sebagai ucapan Belanjawan pada 2013, hari ini bagaikan sudah menjadi satu gerakan untuk mendengar pandangan pada peringkat akar umbi.
"Ia menjadi landasan dan cerminan generasi masa depan. Apabila melihat aspirasi ditampilkan golongan muda, saya yakin generasi akan datang boleh membawa lebih kejayaan kepada negara," katanya pada sesi rumusan Majlis Penyerahan Kanvas Belia TN50 di sini, malam ini.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bertindak sebagai moderator.
Sesi berkenaan disertai beberapa duta TN50 mewakili beberapa kumpulan termasuk pendidikan dan nilai masyarakat.
Najib berkata, sebagai pemimpin, beliau bertanggungjawab menyediakan asas ekonomi kukuh kepada negara, untuk melonjak ke kedudukan 20 terbaik di dunia pada masa depan.
"Apa yang kita bangunkan hari ini, cukup hebat bagi pembangunan negara dan ini peranan saya sebagai PM. Kita tidak boleh janji apa yang kita tidak boleh tunaikan dan kita hanya fikirkan pembangunan masa depan, demi generasi akan datang," katanya.
Sebagai contoh kata Najib, negara membina Transit Aliran Massa (MRT), projek infrastruktur berimpak tinggi Keretapi Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (KL-SG HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura yang mana semuanya untuk generasi akan datang.
Tidak setakat itu, katanya, ekonomi negara turut dipacu dengan pelaburan luar, antaranya pelabur asing Groupe PSA dari Perancis serta keyakinan syarikat gergasi Alibaba dari China untuk memilih Malaysia negara pertama luar China untuk melabur, yang nilainya membabitkan bilion ringgit.
Justeru, Najib berkata, apa yang dibangunkan kerajaan itu, bukan atas kemodenan semata-mata, sebaliknya dilakukan dengan sepenuh jiwa raga.
"Kita berfikiran jauh. Saya kira TN50 ini boleh dijadikan gerakan rakyat untuk membentuk negara, yang datang daripada akar umbi dari suara rakyat Malaysia.
"Daripada suara hati rakyat Malysia, kita lakarkan pada kanvas TN50, suatu gambaran yang cukup hebat untuk negara kita. Saya yakin kerana Malaysia boleh," katanya mengakhiri sesi berkenaan, diikuti sorak dan tepukan gemuruh hadirin.
Terdahulu, dalam sesi diolog berkenaan, Najib berkata sekiranya diberikan mandat untuk terus menerajui negara, kerajaan akan terus mengkaji semula sistem pendidikan termasuk pendidikan awal kanak-kanak.
Malah, katanya, kerajaan akan membangunkan ia sesuai dengan cita rasa orang muda hari ini.
Beliau berkata, pendidikan awal kanak-kanak adalah asas penting kepada individu, malah ia penentu kepada pembentukan generasi akan datang.
"Pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti adalah penting. Selepas pilihan raya umum (PRU) nanti, jika dapat mandat yang baik kita akan kaji semula dan cuba bangunkan sistem pendidikan sesuai dengan cita rasa orang muda hari ini," katanya.
Sepanjang sesi berkenaan, Najib tidak putus memuji dan melahirkan rasa bangga dengan semangat golongan muda yang mengambil berat isu dalam negara termasuk alam sekitar.
"Saya teruja dengan sikap generasi baharu yang prihatin betapa perlunya pembangunan yang mampan," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment