Keselamatan WUF Kesembilan terjamin: TPM
KUALA LUMPUR: Malaysia bersedia untuk menangani sebarang ancaman keselamatan sempena penganjuran World Urban Forum (WUF) Kesembilan yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 7 hingga 13 Februari ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata sepanjang berlangsungnya forum bertaraf antarabangsa itu, seramai 2,700 anggota keselamatan terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ditugaskan.
Katanya, seramai 25,000 delegasi yang terbabit dalam forum selama tujuh hari itu dan memerlukan kawalan maksimum.
"Lebih 50 peratus atau kira-kira 12,500 adalah delegasi luar negara dari 194 negara.
"Jadi, kita memandang serius soal keselamatan sepanjang forum berlangsung," katanya dalam sidang media selepas meninjau kesiapsiagaan Latihan Amal Anti Keganasan sempena penganjuran World Urban Forum (WUF) Ke-9 di perkarangan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Hadir sama Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor merangkap Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar; Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim.
Ahmad Zahid berkata, selain kawalan di lokasi forum, pihaknya turut mengetatkan kawalan di pintu masuk utama negara seperti di lapangan terbang selain kawasan penginapan delegasi.
Katanya, beliau yakin sepanjang forum berlangsung, kadar sifar kejadian ancaman keselamatan dapat dicapai.
"Kawalan kita ini merangkumi semua, bermula dari kawasan ketibaan (lapangan terbang), lokasi forum hinggalah kawalan di kawasan penginapan mereka.
"Kita percayai akan capai sifar kemalangan (termasuk ancaman keselamatan) jika mengambil kira penganjuran program bertaraf antarabangsa yang pernah diadakan di negara ini termasuklah penganjuran Sukan SEA Kuala Lumpur tahun lalu," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment