Jangka jualan runcit lapangan terbang meningkat

Friday, February 2, 2018

Jangka jualan runcit lapangan terbang meningkat

Jangka jualan runcit lapangan terbang meningkat

SEPANG: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menjangkakan transaksi jualan runcit di lapangan terbang utamanya di seluruh negara akan terus mencatat pertumbuhan positif tahun ini.

Pengarah Urusannya, Datuk Badlisham Ghazali, berkata jangkaan itu bersandarkan unjuran pertumbuhan penumpang sekitar 6.3 peratus tahun ini daripada 96 juta penumpang tahun lalu.

"Tahun lalu nilai transaksi jualan runcit di semua lapangan terbang kendalian MAHB mencecah RM1 bilion. Dengan jangkaan pertumbuhan penumpang tahun ini, kita menjangkakan nilai transaksi akan meningkat sebanyak 15 peratus.

"Selain itu, faktor promosi dan penawaran produk menarik juga mampu menjadi pemacu kepada jumlah transaksi lebih tinggi di semua lapangan terbang kendalian MAHB," katanya kepada media selepas majlis perasmian produk Seri Pinang di Agrobazaar klia2 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian (FAMA), Tan Sri Badruddin Amiruldin; dan Pengerusi Jawatankuasa Focus Group Pembangunan Usahawan dan Koperasi Bumiputera Pulau Pinang, Datuk Dr Muhammad Farid Saad.

Sementara itu, Badruddin berkata, FAMA menjangkakan produk keluaran usahawan itu di KLIA dan klia2 mencecah RM3 juta tahun ini.

"Menerusi Agrobazaar dianjurkan di KLIA dan klia2 yang disertai Jawatankuasa Focus Group Pembangunan Usahawan dan Koperasi Bumiputera Pulau Pinang mulai semalam, kita jangkakan nilai urusniaga mencecah RM300,000.

"Selain itu, kita juga mendapat sokongan dari agensi seperti Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), FELDA, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA) dan Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (PASFA) yang mana turut memberi kepercayaan kepada Agrobazaar klia2 bagi membantu mempromosikan produk mereka," katanya.

Sempena Agrobazaar yang dikenali Joyful Malaysia@KLIA & klia2 bermula Februari hingga 4 Mac, produk Seri Pinang akan menawarkan 67 SKU daripada 22 usahawan, selain turut membabitkan persembahan dan demonstrasi kebudayaan.

Program itu adalah kelangsungan daripada promosi negeri lain yang pernah menyertainya seperti Perak, Melaka, Johor, Selangor, Kelantan dan Terengganu pada tahun 2017.

"Program dengan warna dan bunyi negeri memberi peluang kepada pengguna di kedua-kedua terminal penerbangan untuk melihat, merasai, mengalami dan menikmati keunikan produk, destinasi pelancongan dan menonjolkan juga kekuatan seni, budaya dan warisan negeri," jelas Muhammad Farid.

Info:

- Jumlah jualan runcit RM1 bilion pada 2017



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment