'Saya cuma nak peluk, cium dia'
IPOH: "Prasana Diksa boleh terus kekal Islam dan saya tidak ada halangan jika itu pilihan dia.
"Saya cuma mahu memeluk, menciumnya dan melihat keadaannya sekarang kerana sudah terlalu lama tidak berjumpa."
Kerinduan guru tadika, M Indira Gandhi, sebagai ibu terhadap anak bongsunya yang berusia sembilan tahun itu sukar dibendung sejak dibawa oleh bekas suami, Muhammad Ridhuan Abdullah, 48, tanpa dapat dikesan.
Indira Gandhi mengakui agama bukan boleh dipaksa dan menghormati pihak lain.
"Sebagai ibu, saya hanya mahu melihat bagaimana anak saya membesar. Berilah saya kesempatan untuk memeluknya selepas sekian lama tidak bertemu, saya mahu melihat keadaan anak saya dan bercakap dengannya.
"Saya menang di mahkamah, namun ia tidak bererti jika saya tidak dapat berjumpa Prasana. Jika dia mahu kekal beragama Islam, itu pilihannya tetapi hubungan saya dengannya sebagai ibu yang melahirkan tidak akan pernah putus.
"Tolong jangan putuskan hubungan ibu dan anak antara saya dan Prasana atas alasan agama kerana saya menghormati apa saja keputusan Prasana," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Indira memahami isu agama membabitkan anaknya adalah sangat sensitif dan menegaskan Prasana bebas mengekalkan agama Islam walaupun mahkamah memutuskan membatalkan penukaran agama kanak-kanak itu.
Katanya, bekas suami perlu memberi peluang baginya menemui Prasana dan tidak memutuskan hubungannya sebagai ibu kandung.
Isnin lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama tiga anak Indira Gandhi hampir 10 tahun lalu kepada Islam adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang.
Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin membuat keputusan sebulat suara selepas membenarkan rayuan akhir dibuat Indira berhubung kesahihan penukaran agama tiga anaknya iaitu Tevin Darsiny, 21; Karan Dinish, 20; dan Prasana kepada Islam.
Menerusi 99 muka surat penghakiman yang dibacakan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zainun Ali, mahkamah memutuskan persetujuan kedua-dua ibu bapa adalah perlu untuk penukaran agama anak sebelum Sijil Perakuan Memeluk Islam dikeluarkan oleh Pendaftar Mualaf.
Muhammad Ridhuan sebelum ini didakwa gagal menyerahkan Prasana Diksa kepada Indira sebagaimana diperintahkan Mahkamah Tinggi Ipoh pada 30 Mei 2014.
Dua lagi anak pasangan itu kini bersama Indira.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment