Pertemuan dengan Adun BN positif: Mukhriz

Thursday, June 14, 2018

Pertemuan dengan Adun BN positif: Mukhriz

Pertemuan dengan Adun BN positif: Mukhriz

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak menafikan mengadakan perjumpaan bersama Adun BN kelmarin bagi membincangkan isu pelantikan Speaker Dun Kedah.

Katanya, hasil perbincangan belum boleh diumumkan dan perlu menunggu masa sesuai.

Mukhriz turut memberi bayangan bahawa perbincangan tidak rasmi itu positif dan kemelut itu akan berakhir sebelum persidangan Dun berlangsung pada 4 Julai depan.

“Saya sentiasa berjumpa dengan semua pihak termasuk Pas. Banyak perkara dibincangkan antaranya isu Speaker namun kena tunggu dan lihat. Jika nampak saya tak cuak, bermakna ada cara untuk selesaikan secara positif,” katanya, pada sidang media, selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, semalam.

Menurutnya, kerajaan Pakatan Harapan tetap kukuh dan sehingga kini masih berkhidmat sebagai kerajaan negeri.

Mengulas mengenai surat tular didakwa ditulis oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kepada pejabat Sultan Kedah bertarikh 11 Mei, yang menamakan Adun Gurun, Datuk Johari Abdul sebagai Menteri Besar Kedah, Mukhriz enggan mengulas lanjut.

“Perkara itu perlu rujuk kepada pimpinan PKR, bukan saya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mukhriz berkata, mesyuarat Exco bersetuju untuk membekalkan air ke kawasan bermasalah yang dikenal pasti terganggu setiap kali musim perayaan.

“Hasil perbincangan dengan Syarikat Air Darul Aman (Sada), antara 10 inisiatif yang diambil untuk kawasan bermasalah adalah dengan memasang pam penggalak mini. Lima sudah dipasang, manakala empat lagi selepas Hari Raya, termasuk gantikan paip baru,” katanya.

Menurutnya, pemasangan pam penggalak mini akan memastikan tekanan air ke kawasan bermasalah dapat diatasi sepanjang musim perayaan.

“Untuk kawasan yang belum dipasang pam berkenaan, Sada akan sediakan 24 lori tangki air dan tambahan 20 lori swasta untuk bekalkan air ke kawasan kritikal dan bagi menampung keperluan,” katanya.

Mukhriz berkata, audit teknikal dan kewangan akan dilakukan terhadap pembekalan air negeri termasuk Sada selepas hari raya ini.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment