'Hadiah paling bermakna bagi kami sekeluarga'

Friday, June 1, 2018

'Hadiah paling bermakna bagi kami sekeluarga'

'Hadiah paling bermakna bagi kami sekeluarga'

BEHRANG STESEN - Kesempitan hidup ibu tunggal sehingga menumpang kasih di rumah jirannya selepas kediamannya musnah dalam kebakaran berakhir apabila Tenaga Nasional Berhad (TNB) Perak bakal membina rumah baharu menerusi Projek Baiti Jannati.

Noriah Mat Yet, 62, antara lima asnaf terpilih menerima rumah menerusi Baiti Jannati di seluruh Perak tahun ini.

Noriah berkata, rumah miliknya di Kampung Sepakat Jaya, Titi Gantung, terbakar tahun lalu menyebabkan dia terpaksa menumpang  rumah jirannya.

“Selepas rumah saya terbakar, ada pihak TNB datang ke rumah berjumpa saya beberapa kali tapi tak sangka saya antara penerima untuk Baiti Jannati untuk tahun ini.

“Ini adalah hadiah yang paling bermakna untuk kami sekeluarga daripada TNB Perak,” katanya selepas Majlis Penyerahan Baiti Jannati sempena Majlis Ihya Ramadan TNB Peringkat Negeri Perak di Masjid Raja Muda Musa 2, Behrang Stesyen, malam kelmarin.

Hadir sama, Exco negeri, Abdul Yunus Jamhari yang turut melakukan gimik penyerahan kepada penerima dan Ketua Pegawai Kewangan yang juga Naib Presiden (Kewangan Kumpulan) TNB, Datuk Fazlur Rahman Zainuddin dan Pengurus Besar (Perkhidmatan Pelanggan) negeri, Bahagian Pembahagian TNB, Raja Datuk Abd Jalil Raja Zaid.

Noriah yang kini bersama-sama kakaknya Zainab Mat Yet, 66, serta salah seorang anaknya menumpang di rumah jirannya berkata, rumah baharunya masih dalam pembinaan dan dijangkakan awal Ogos akan siap sepenuhnya.

Nada sama juga diluahkan pemandu van, Shahrul Abd Hamid, 35, tidak pernah menyangka dia antara lima yang terpilih  untuk Projek Baiti Jannati.

Yunus (empat kiri) menyerahkan replika kunci sebagai gimik penyerahan rumah Projek Baiti Jannati kepada Shahrul.

Katanya, sebelum ini dia  bersama isteri dan tiga anak menyewa rumah dengan RM350 sebulan kerana tidak mampu untuk memiliki rumah sendiri disebabkan kekangan kewangan.

Menurutnya, dia didatangi beberapa pegawai TNB dan menyatakan terpilih dalam projek Baiti Jannati TNB pada tahun ini.

“Apabila pegawai TNB menyatakan saya antara lima yang terpilih, saya bersyukur kerana impian untuk mendapatkan rumah sendiri akhirnya tercapai menerusi Projek Baiti Jannati ini.

“Insya-ALLAH kami sekeluarga akan menyambut pagi Syawal di rumah baharu kerana  rumah dibina di peringkat akhir pembinaan dan ini adalah buat tangan  dari TNB buat kami sekeluarga. terima kasih TNB,” katanya.

Dalam pada itu, Fazlur Rahman berkata, dalam majlis itu pihaknya menyerahkan replika kunci rumah Projek Baiti Jannati kepada lima keluarga asnaf dari beberapa daerah termasuk Bagan Serai, Beruas, Kampung Gajah, Bota dan Kubu Gajah.

“Pada tahun ini, TNB memperuntukkan satu jumlah untuk membina kelima-lima rumah dan ia satu tanggungjawab sosial (CSR) syarikat itu.

“Dalam pada itu,  tujuan majlis ini diadakan adalah untuk menjalinkan hubungan silaturahim antara pihaknya bersama penduduk setempat sekali gus dapat mengimarahkan Masjid Raja Muda Musa 2, Behrang Stesyen di sini,” katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment