'Jangan ubah kerajaan sedia ada' - Najib
TAWAU: Datuk Seri Najib Razak meminta rakyat Sabah supaya 'jangan ubah' kerajaan sedia ada dipimpin Barisan Nasional (BN) yang sentiasa konsisten membawa kemajuan kepada negeri ini dan negara.
Perdana Menteri berkata, rakyat perlu yakin kepada BN yang tidak pernah berubah pendirian memperjuangkan nasib mereka, berbanding pembangkang yang tidak konsisten, sebaliknya sentiasa berubah termasuk terbaru meletakkan dalam manifesto mereka untuk meneruskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
"Pembangkang dulu pada mulanya mengutuk BR1M tetapi manifesto mereka ada pula BR1M, mereka kata akan sambung pemberian bantuan itu jika menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Hari ini cakap lain, esok lain, ini tak boleh pakai.
"Kita hanya boleh yakin yang dulu, hari ini dan esok cakap perkara sama, jangan ubah lagi yang sudah baik, jangan ubah yang kita yakin... macam isteri kita di rumah jangan ubah, tambah pun jangan. Kita kekalkan yang baik supaya yang kita rancang dapat jadi kenyataan," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Perasmian Pusat Transformasi Bandar (UTC) Tawau, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman dan isteri, Puan Sri Faridah Tussin; Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin dan Datuk Raymond Tan Shu Kiah; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Syed Abas Syed Ali dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mary Yap Kain Ching.
Najib yang juga Pengerusi BN berkata, rakyat Sabah perlu terus memberi kemenangan kepada BN kerana banyak lagi akan dilaksanakan untuk negeri ini termasuk menaik taraf jalan luar bandar dengan peruntukan RM1 bilion pada tahun depan hingga 2020.
Pada masa sama, katanya, sebanyak 126 sekolah daif sedang dinaik taraf menerusi fasa pertama menggunakan sistem binaan berindustri (IBS) membabitkan kos RM1 bilion ketika ini yang dijangka siap dalam beberapa bulan lagi.
"Saya juga bangga UTC Tawau disiapkan dalam tempoh 10 minggu dengan kos RM30 juta dan ia menjadi pusat pertumbuhan baharu di bandar ini kerana menyediakan kemudahan berkualiti seperti (permohonan) pasport yang boleh siap sejam, MyKad yang siap paling lewat sehari dan khidmat klinik gigi dengan kos RM1.
"Bukan ini saja, yang lain kita buat juga seperti sekolah, eletrik dan jalan luar bandar serta banyak lagi akan kita luluskan. Sebab itu, kita tak perlu Parti Warisan Sabah (WARISAN), PKR atau DAP kerana mereka ini tiada jasa kepada rakyat... yang ada jasa ialah BN yang kerja siang malam demi rakyat," katanya.
Najib berkata, kerajaan BN hanya membuat dasar yang boleh mengubah masa depan rakyat dan menjadikan kehidupan mereka lebih baik.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, berdasarkan sokongan berterusan rakyat terhadap BN, beliau yakin Parlimen Tawau dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas serta Balung akan kekal dimenangi BN pada PRU-14.
Beliau turut mengumumkan peruntukan RM5 juta untuk menaik taraf bangunan Pasar Tanjung yang menempatkan UTC berkenaan bagi meningkatkan keselesaan pengunjung.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment