SK Tanjung Minyak 2 cungkil bakat muda melalui kejohanan

Monday, April 23, 2018

SK Tanjung Minyak 2 cungkil bakat muda melalui kejohanan

SK Tanjung Minyak 2 cungkil bakat muda melalui kejohanan

Kejohanan Sukan Olahraga kali ketiga Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Minyak 2, bukan sahaja meriah, malah berjaya mencungkil bakat baru atlet sekolah ini.

Ini terbukti apabila beberapa rekod baru kejohanan dicipta pada kejohanan itu, selain pasukan Rumah Tuah berjaya memadamkan rekod Rumah Lekir apabila muncul juara keseluruhan pada kejohanan kali ini.

Guru Besar SK Tanjung Minyak 2, Ehsanudin Abd Jalil berkata, kejohanan sukan peringkat sekolah merupakan medium terbaik kepada guru-guru untuk mencungkil bakat murid-murid.

Menurutnya, sekali gus usaha gigih pentadbir dan guru-guru, mampu memberi ruang dan peluang kepada murid untuk mengharumkan nama sekolah termasuk mewakili dan menempah kejayaan di peringkat kawasan mahupun negeri.

“Walaupun kejohanan ini diadakan dalam masa yang singkat, namun guru-guru mampu melatih dan mendidik murid-murid sehingga berjaya membentuk satu pasukan yang mantap dalam acara sukan.

“Usaha gigih pentadbir dan guru-guru, saya yakin kita akan dapat menempah nama ke peringkat yang lebih jauh,” katanya.

Hadir merasmikan aktiviti itu, mantan Guru Besar SK Tanjung Minyak 2, Zali Ahmad; Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Mohd Nizam Ngiman;  GPK Pentadbiran, Ramlan Udin; GPK Hal Ehwal Murid, Asniah Mohd Yusof dan GPK Kokurikulum, Harni A.Hamid.

Tambahnya, peranan ibu bapa juga penting dalam membantu pihak sekolah menjalankan pelbagai aktiviti sukan seperti ini sesuai dengan saranan Kementerian Pendidikan menubuhkan PIBG.

“Kalau dilihat dari segi kehadiran ibu bapa begitu menggalakkan dan ini menunjukkan apa jua program yang dianjurkan tidak akan berjaya tanpa sokongan semua pihak.

“Saya juga berharap murid-murid akan terus berusaha dengan lebih cemerlang kerana pada diri murid-muridlah dapat menempa kejayaan,” katanya.

Dalam kejohanan itu, adik Muhammad Zharif Zharfan Mohd Karim dari rumah Tuah dipilih sebagai olahragawan, manakala Nur Qistina Rostam dari rumah Lekir dinobatkan sebagai olahragawati juara acara perbarisan dimenangi pasukan Rumah Lekir.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment