Salah laku polis paling banyak dilaporkan: EAIC

Wednesday, April 18, 2018

Salah laku polis paling banyak dilaporkan: EAIC

Salah laku polis paling banyak dilaporkan: EAIC

KUALA LUMPUR - Sebanyak 440 daripada 545 aduan salah laku penguat kuasa yang diterima Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), pada 2017 melibatkan salah laku anggota dan pegawai PDRM.

Pengerusi EAIC, Datuk A. Aziz A.Rahim, berkata, PDRM menunjukkan jumlah aduan tertinggi berikutan pasukan keselamatan berkenaan meliputi seluruh negara terdiri daripada kira-kira 120,000 kakitangan.

Menurutnya, dengan jumlah aduan berkenaan, ianya masih dalam jumlah yang kecil berbanding jumlah seluruh keanggotaan itu.

“Jumlah aduan bagi 2017 meningkat berbanding 2016 iaitu daripada 470 ke 545. Tiga tertinggi meliputi 440 aduan berkaitan PDRM, 20 Jabatan Imigresen, 17 Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), 13 jabatan pengangkutan jalan (JPJ).

“Manakala setakat April tahun ini, sejumlah 125 aduan direkodkan,” katanya selepas Majlis Pelancaran Kempen Laporkan Salah Laku Penguat kuasa di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), hari ini.

Tambah beliau, pihaknya akan membuka kertas siasatan bagi setiap salah laku yang dilaporkan.

Bagaimanapun ujarnya, kira-kira 70 peratus daripada jumlah aduan tidak dapat disokong dengan bukti.

“Antara bentuk salah laku yang dilaporkan adalah kegagalan penguat kuasa melaksanakan tugas mengikut peraturan, salah guna kuasa, bersifat rasuah, serta kegagalan penguat kuasa bertindak menyelesaikan aduan awam.

“Jadi di bawah subseksyen 4 (1) (e) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700], tidak melaksanakan tugas juga merupakan salah laku yang boleh dilaporkan,” katanya.

Sementara itu, mengulas berkaitan perlaksanaan kempen berkenaan, A.Aziz berkata, ia sebagai platform memberi pendedahan kepada masyarakat tentang fungsi dan peranan EAIC.

“Ia bukan bermaksud salah laku penguat kuasa itu meningkat. Tetapi kesedaran kepada masyarakat agar melaporkan salah laku penguat kuasa ke saluran yang sewajarnya,” katanya.
 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment