QR Code pastikan keaslian mangga harumanis

Thursday, April 19, 2018

QR Code pastikan keaslian mangga harumanis

QR Code pastikan keaslian mangga harumanis

KANGAR: Jabatan Pertanian Perlis perkenal kod maklum balas pantas (QR Code) pada buah mangga harumanis bagi mengelak pengguna ditipu oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Pengarah Jabatan Pertanian Perlis, Zulkefli Amin Mat Jusoh berkata, QR Code itu akan ditampal pada buah harumanis peladang seliaan pihaknya.

"Pada peringkat permulaan, seramai 30 dari 90 peladang akan menerima pelekat kod berkenaan untuk ditampal pada buah harumanis mereka.

"QR Code ini membantu pengguna agar mereka tidak tertipu dengan peniaga yang tidak bertanggungjawab ketika membeli buah berkenaan," katanya pada Majlis Pelancaran Festival Mangga Harumanis Perlis 2018 di Pusat Kecemerlangan Mempelam Bukit Bintang di sini, hari ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat ke majlis bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil bagi merasmikan majlis berkenaan.

Menurut Zulkefli, buah harumanis Perlis merupakan produk pertama yang ditampalkan kod maklum balas dalam negara ini.

"Pengguna boleh memuatnaik pengimbas QR Code di aplikasi Google Play Store.

"Pada masa akan datang, sekiranya pengguna ingin mengetahui buah terbabit dipetik dari ladang pengusaha seliaan jabatan mereka boleh mengimbas kod itu pada buah dan secara automatik maklumat mengenai buah terbabit akan muncul di skrin telefon pintar mereka," katanya.

Malah katanya, melalui pengenalan kod itu, peniaga tidak dapat menipu pembeli ketika berurus niaga.

"Sekiranya peniaga cuba menampal kod palsu, pengimbas pada telefon pintar mereka akan mengeluarkan amaran bahawa kod itu tidak benar.

"Sekiranya kod itu memang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian negeri, secara automatiknya maklumat mengenai buah terbabit akan muncul termasuklah gambar pengusaha harumanis berkenaan," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment