Politik burung kakak tua
MINGGU lepas saya menghadiri IHeart Halal Festival di Chicago. Inilah kali pertama ekspo halal secara besar-besaran diadakan di Amerika Syarikat. Saya diberitahu lebih 30,000 orang hadir di festival tiga hari itu. Di situ ada pertunjukan fesyen, promosi makanan dan kosmetik halal, dan pelbagai siri diskusi mengenai Islam di Amerika Syarikat.
Di festival itu, saya bertemu ramai umat Islam dari negara-negara Asia Selatan dan Timur Tengah. Ada juga dari Eropah dan Asia Tenggara. Apabila saya memperkenalkan diri dari Malaysia, mereka semua cukup seronok. Saya pula rasa teruja apabila mereka memuji negara kita.
Hampir kesemua yang saya temui memuji Malaysia. Mereka bercakap betapa Malaysia merupakan negara contoh kepada negara-negara umat Islam lain. Mereka beritahu saya bahawa mereka pernah ke Malaysia. Pengalaman berada di Malaysia cukup manis dan mereka mahu kembali lagi.
Di festival itu, saya memperkenalkan produk makanan dari 11 buah perusahaan kecil dan sederhana. Selepas mereka mencuba sampel makanan tersebut, sembilan daripada 10 bertanya di manakah mereka boleh membeli produk itu.
Alasan yang diberikan ialah mereka yakin dengan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Begitulah betapa hebat orang luar memandang kepada kita.
Di dalam negara, kita bercakaran. Polemik demi polemik timbul menjelang pilihan raya ini. Dari satu isu ke satu isu. Kalau dulu, isu dalaman kekal sebagai isu dalam negeri. Ceramah politik dalam kampung, kekal di dalam kampung itu. Orang politik boleh berapi-api auta, tak siapa yang tahu kecuali orang yang datang dengar ceramah.
Sekarang, apa saja yang dipertikaikan ada dalam internet. Ia bukan saja ditulis dalam bahasa Malaysia, tetapi juga bahasa Inggeris. Akhirnya, urusan dalaman dan rumah tangga kita habis tersebar ke seluruh dunia.
Kita mengambil masa berpuluh tahun untuk membina nama baik. Namun, ia dirosakkan dalam seketika saja dek kegilaan berebut jawatan.
Saya faham ada isu-isu yang wajar dipertikaikan. Namun, banyak juga fitnah yang dipalitkan ke muka lawan. Asalkan dapat conteng, conteng sajalah. Rakyat pula jahil politik. Malah, sebahagian besar tidak kenal pun dengan orang politik yang mereka bercakap. Berjumpa tak pernah. Bercakap dengan mereka pun tak pernah.
Mereka hanya kenal politikus ini dari ceramah-ceramah politik. Disebabkan terlalu banyak dengar ceramah politik, lama-lama dia percaya pembohongan.
Sewaktu di Chicago baru-baru ini juga, beberapa orang rakan bertemu dengan seorang bekas pemimpin politik. Waktu itu saya tidak ada bersama-sama mereka. Bekas pemimpin politik itu memperkenalkan diri kepada mereka. Dia tidak menyebut gelaran atau pangkat. Sekadar nama saja. Begitulah dia merendah diri.
Rakan-rakan saya memanggil beliau Datuk. Beberapa minit kemudian, saya tiba di lokasi itu dan memanggil beliau Tan Sri. Saya kenal sangat dengannya. Selepas bertanya khabar beberapa minit, Tan Sri tersebut meninggalkan kami. Beliau ada urusan lain di sana.
Saya bertanya rakan-rakan tadi, âKamu tahu siapa Tan Sri tu?â
Mereka geleng kepala. Ada yang kata ingat-ingat lupa. Apabila dengar jawapan itu, saya pun berleter panjang.
Saya kata, âInilah orang yang kamu selalu hentam dalam media sosial. Apabila jumpa berdepan, kamu tak kenal muka dia!â
Kita tidak ada literasi politik. Kita bercakap mengenai orang yang kita tak kenal. Kita mengutuk politikus yang kita tak tahu hati budi. Kita ketawakan menteri yang kita tak pernah jumpa berdepan.
Kita bukan sekadar sebarkan fitnah. Kita menyebarkan kebobrokan yang kita sendiri tak faham. Asal dengar orang cakap, kita ulang-ulangkan. Macam burung kakak tua. Kita mengulangi sesuatu yang kita tak pasti betul atau tidak.
Sementara orang lain kagum dengan Malaysia, pemimpin dan institusi Islam dalam negara, kita menjadikan mereka bahan ketawa dan fitnah.
Ada masa saya berasa malu apabila dengar orang memuji Malaysia di Chicago. Bukan malu dengan pujian itu. Malu dengan sikap kita yang meruntuhkan nama baik negara. Semuanya disebabkan kita berpolitik cara burung kakak tua!
* Norizan Sharif ialah penganalisis sosiopolitik, kini berada di New Jersey, Amerika Syarikat
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment