Penyebaran audio berkaitan isteri PM berita palsu
KUALA LUMPUR â" Pejabat Perdana Menteri menafikan sekeras-kerasnya dakwaan liar mengenai penyebaran berita palsu dan fitnah berkenaan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dalam bentuk audio yang dikongsi secara meluas menerusi aplikasi pesanan WhatsApp.
Dalam satu kenyataan dimuat naik menerusi akaun Facebook Pejabat Perdana Menteri, ia menyatakan dalam rakaman itu, seorang individu telah membuat tuduhan tidak berasas dan liar mengenai perbelanjaan kerajaan yang melibatkan Rosmah.
Individu itu mendakwa perbelanjaan amat tinggi dibuat oleh kerajaan bagi kek sambutan hari jadi isteri perdana menteri dan kos memasang dua kamera litar tertutup (CCTV) di pejabat Rosmah di Putrajaya.
Individu terbabit mendakwa sumber berita tersebut datangnya daripada seorang rakannya yang bertugas di Kementerian Kewangan, selain kononnya kutipan GST berjumlah RM70.1 juta sehari telah habis dicuri dan tidak dijumpai dalam Perbendaharaan Negara.
âPejabat Perdana Menteri menafikan sekeras-kerasnya dakwaan liar dan tidak berasas yang dibuat oleh individu tersebut. Tindakan individu tersebut hanya bermotifkan politik untuk menghasut rakyat.
âKetika ini, gejala penyebaran berita-berita palsu dan fitnah semakin berleluasa di laman media sosial termasuklah aplikasi seperti WhatsApp dan Telegram, terutamanya menjelang kempen PRU14,â kata kenyataan itu.
Sehubungan itu, Pejabat Perdana Menteri menasihatkan orang ramai supaya membuat penilaian serta semakan sebelum mempercayai berita-berita palsu serta fitnah yang disebarkan demi tujuan peribadi atau politik golongan tidak bertanggungjawab.
Pejabat Perdana Menteri berkata, individu yang terlibat dalam pembuatan dan penyebaran berita palsu itu boleh disiasat mengikut Akta Antiberita Tidak Benar 2018.
Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali. - Bernama
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment