Mukhriz sokong PKR kenakan denda RM10j

Wednesday, April 25, 2018

Mukhriz sokong PKR kenakan denda RM10j

Mukhriz sokong PKR kenakan denda RM10j

ALOR SETAR: Pengerusi pakatan pembangkang Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mempertahankan keputusan PKR untuk mengenakan denda RM10 juta terhadap wakil rakyatnya yang keluar parti selepas menang kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Mengambil contoh baiah yang dilaksanakan PAS, Mukhriz berkata, PKR juga mempunyai cara tersendiri bagi memastikan wakil rakyatnya kekal dalam parti.

Mengulas lanjut beliau berkata, kaedah itu juga berupaya menuntut calon pakatan pembangkang supaya terus ikhlas untuk berjuang bersama parti.

"Masing-masing ada kaedah sendiri, ...dulu PAS ada baiah jadi kita ada cara tersendiri, ...tapi akhirnya ia bergantung pada hati seseorang itu apa niat sebenarnya, " katanya selepas Majlis Pengumuman Calon Gabungan Pembangkang, di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan dilaksanakan PKR yang berhasrat mengenakan denda sebanyak RM10 juta terhadap mana-mana wakilnya yang melompat parti jika memang pada PRU-14.

Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar ketika mengesahkan langkah itu, berkata kontrak terbabit dilaksanakan sebagai bayaran denda kepada mana-mana ahli terpilih atas tiket parti itu yang keluar parti.

Sementara itu, Mukhriz yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam, mendakwa dirinya tidak mempunyai tempoh yang mencukupi untuk menyelesaikan pelan perancangan pembangunan negeri termasuk menyelesaikan isu masalah bekalan air.

Ini kerana, beliau hanya sempat memegang jawatan Menteri Besar Kedah selama kira-kira dua tahun menyebabkan banyak perancangan tidak dapat dilaksanakan.

"Tak cukup masa untuk saya laksanakan dan lebih malang apabila perancangan yang dilakukan ketika saya mentadbir Kedah tidak diteruskan oleh Menteri Besar sekarang iaitu Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah," dakwanya lagi.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment