Penjawat awam ditahan edar dadah

Monday, April 23, 2018

Penjawat awam ditahan edar dadah

Penjawat awam ditahan edar dadah

KUALA LUMPUR: Seorang penjawat awam ditahan selepas polis menemui lima ketulan mampat dipercayai dadah jenis ganja seberat lebih 1.6 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM3500 di kediamannya di Projek Perumahan Awam Desa Rejang, di sini, malam tadi.

Lelaki berusia 28 tahun yang turut disyaki mengedar dadah itu ditahan di kawasan letak kereta pangsapuri berkenaan pada jam 8.30 malam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif, berkata sebelum ditahan, sepasukan anggota menyerbu rumah suspek.

"Ketika serbuan, rumah suspek tiada berpenghuni, anggota polis kemudian bertindak memotong kunci mangga pintu dan memasuki rumah berkenaan.

"Hasil pemeriksaan di kediaman suspek, polis menemui lima ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja bersama beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk membungkus dadah seperti paket plastik kecil, gunting serta pisau di atas lantai ruang tamu.

"Turut ditemui alat yang dipercayai digunakan untuk menghisap ganja selain sekeping kad kerja milik suspek yang bertugas di sebuah kementerian, suspek kemudian berjaya dikesan di kawasan letak kereta di bawah blok pangsapurinya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Roy berkata, semakan mendapati suspek bagaimanapun tiada sebarang rekod jenayah lampau.

"Ujian terhadap air kencing suspek kemudian mendapati positif dadah jenis THC, hasil siasatan suspek dipercayai aktif mengedar dadah sejak 3 bulan lalu di sekitar kawasan Setapak.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment