Najib jangka keputusan PRU lebih baik

Wednesday, April 25, 2018

Najib jangka keputusan PRU lebih baik

Najib jangka keputusan PRU lebih baik

KUALA LUMPUR: Lima tahun selepas mengetuai parti yang menang tipis pada pilihan raya umum 2013, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menjangkakan "keputusan lebih baik" pada pilihan raya umum kali ini yang menyaksikan pertembungan pertama beliau menentang mentornya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Najib, dalam wawancara pertamanya dengan media antarabangsa selepas lebih tiga tahun, turut membicarakan mengenai tempoh sukar ketika berhadapan skandal dana pelaburan negara yang membabitkan kerugian berbilion dolar sehingga mewujudkan pelbagai siasatan di peringkat global.

Beliau juga kini berhadapan waktu yang paling sukar dalam perjuangannya untuk mengekalkan BN mentadbir negara lebih enam dekad, dalam pilihan raya yang menjadi sangat peribadi kerana ini membabitkan pertembungan dengan lelaki yang membantunya berkuasa pada 2009, selain perebutan untuk menambat hati orang Melayu.

Sepanjang satu jam sesi wawancara di ibu pejabat Barisan Nasional di ibu negara, Najib turut membicarakan mengenai Pilihan Raya Umum pada 9 Mei, menyentuh mengenai ekonomi dengan menjanjikan lebih banyak potongan cukai pendapatan dan perniagaan jika menang pilihan raya selain isu 1MDB dan masa depan politiknya sendiri.

Najib sedang berusaha memastikan UMNO terus kekal memerintah sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957. Selain mengukuhkan kedudukannya sendiri, Najib kini berusaha membaiki prestasi Pilihan Raya Umum pada 2013, apabila Barisan Nasional yang diketuai UMNO kehilangan undi popular buat pertama kali dengan memenangi kerusi majoriti tipis.

Pilihan raya umum kali ini perlu dijadikan penanda aras untuk beliau dengan memenangi kerusi majoriti dua pertiga yang mana kali terakhir dicapai sedekad yang lalu.

"Kami yakin akan mendapatkan keputusan lebih baik," kata Najib, 64. "Tiada usaha untuk menukar kerajaan, saya tidak nampak. Ini tidak bermakna kami akan menang dengan majoriti besar, saya tidak mahu meramalkan begitu tetapi suka saya menyatakan kita cukup percaya dan optimis dengan keputusannya nanti.

Keyakinan Najib itu disokong dengan kedudukan Pakatan Harapan yang dilabelkan beliau sebagai "parti cacamarba" yang diketuai bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir, 93, yang selama ini menjadi juara dalam perjuangan hak istimewa orang Melayu kini berjuang bersama parti terbesar orang Cina , DAP .

"Saya tidak nampak bagaimana mereka boleh bekerja sama," katanya.

Terletak di Selat Melaka, laluan global utama untuk perdagangan laut dan pintu masuk ke Laut China Selatan yang masih dipertikaikan, Malaysia adalah negara yang majoritinya beragama Islam dengan ekonomi yang tertumpu kepada komoditi dan sangat terdedah kepada perubahan dalam permintaan minyak global.

Dalam masa yang sama, Malaysia yang mempunyai masyarakat Cina dan India yang cukup besar, orang Melayu menjadi etnik terbesar yang membentuk sebahagian besar pengundi - dan mereka telah lama menjadi tulang belakang UMNO.

Sejak 2013, Najib telah berusaha untuk meningkatkan sokongan orang Melayu terutama dalam kalangan pemimpin luar bandar, dan kini sokong orang Melayu itu sangat penting untuk menangkis Dr Mahathir, yang mengaitkan beliau dengan skandal 1MDB.

Mahathir yang mentadbir Malaysia lebih 20 tahun dan terkenal dengan usaha menambat mata wang negara semasa krisis kewangan Asia pada akhir 1990-an, kini memecah belahkan UMNO sejak 2016 dengan membentuk partinya sendiri untuk terus menentang Najib.

Dalam masa yang sama, Dr Mahathir berusaha untuk menguasai undi Melayu, yang mana mereka kini kebanyakan dalam kalangan petani, penjawat awam dan kumpulan berpendapatan rendah menerima bantuan dalam bentuk wang tunai daripada Najib.

Pilihan raya kali ini diwarnai dengan isu berkaitan perkauman dan agama. Susulan pengundi Cina yang meninggalkan Barisan Nasional pada 2013 menyebabkan parti komponen itu mengukuhkan sokongan Melayu terhadap parti itu. - Bloomberg



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment