Mahkamah Indonesia sahkan Equanimity tiada kaitan 1MDB
KUALA LUMPUR: Mahkamah Indonesia semalam, mendapati kapal layar mewah Equanimity yang disita di perairan Bali pada akhir Februari lalu, tiada kaitan langsung dengan syarikat pelaburan strategik Malaysia, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sebaliknya, hakim Mahkamah Daerah Jakarta Selatan mendapati, kapal layar berkenaan adalah milik sah Equanimity (Cayman) Ltd.
Keputusan itu dibuat mahkamah dalam prosiding perbicaraan terhadap permohonan yang difailkan oleh Equanimity Cayman terhadap Bahagian Siasatan Jenayah Ekonomi dan Khas Polis Indonesia (POLRI).
Ketua bahagian itu, Brig-Jeneral Polis Dr Rudy Heriyanto Adi, berkata mahkamah dalam penghakimannya, menerima dan meluluskan semua permohonan pra-perbicaraan yang dibuat Equanimity Cayman.
"Ketika meluluskan permohonan terbabit, mahkamah menyatakan bahawa tindakan polis menyita kapal berkenaan pada 26 Februari lalu sebagai tidak sah serta tidak mengikut lunas undang-undang.
"Justeru itu, mahkamah memerintahkan supaya kapal terbabit dikembalikan kepada pemohon (Equanimity Cayman) selaku pemiliknya," katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan di Jakarta susulan penghakiman itu, semalam.
Rudy berkata, susulan keputusan Mahkamah Daerah Jakarta Selatan yang bersifat muktamad itu, POLRI akan mematuhi perintah yang dikeluarkan dengan segera mengembalikan kapal berkenaan kepada pemiliknya.
"Berdasarkan keterangan yang dikemukakan ketika prosiding mahkamah semalam, kapal layar mewah Equanimity adalah milik sah Equanimity Cayman.
"Tidak ada keterangan menyatakan kaitan di antara kapal Equanimity dengan 1MDB," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, kapal layar bernilai hampir RM1 bilion itu, disita pihak berkuasa Indonesia yang bertindak atas permohonan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ).
Ketika diserbu pihak berkuasa Indonesia, kapal mewah yang didaftarkan di Pulau Cayman itu, sedang belayar di perairan Bali bersama 36 kru.
Susulan penyitaan yang dibuat, pada 30 Mac lalu, Equanimity (Cayman) selaku pemilik sah kapal terbabit, dalam kenyataannya menyifatkan DOJ dan pihak berkuasa Indonesia bertindak melampaui had perundangan negara masing-masing dalam isu terbabit.
Susulan itu, pemilik kapal terbabit memfailkan dokumen berkaitan di mahkamah Indonesia dan Amerika Syarikat bagi membuktikan pemilikannya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment