Kelindan lori ditahan dera anak tiri
ISKANDAR PUTERI: Polis menahan kelindan lori berusia 27 tahun selepas disyaki mendera anak tirinya berusia enam tahun, di Taman Perumahan Lima Kedai, Gelang Patah, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad, berkata suspek ditahan pada jam 9.30 malam berikutan dua laporan yang dibuat oleh pengasuh dan guru tadika kanak-kanak terbabit pada Isnin dan Selasa lalu selepas mendapati kesan lebam di pipi, bibir dan belakang tubuh mangsa.
Katanya, polis turut merampas sebatang rotan yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa, selain ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
"Mangsa memaklumkan kepada pengasuhnya yang bapa tirinya merotan dan menamparnya. Suspek berkahwin dengan ibu mangsa dua tahun lalu.
"Hasil siasatan awal, suspek mengaku merotan, menampar dan memukul anak tirinya atas alasan mangsa degil dan tidak pandai dalam pelajaran.
"Malah, suspek dipercayai berbuat demikian sejak Oktober tahun lalu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, di sini, hari ini.
Noor Hashim berkata, mangsa kini di bawah penjagaan ibunya yang berusia 28 tahun dan bekerja sebagai pembantu klinik di Gelang Patah.
Katanya, suspek direman sehingga 24 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-dua jika sabit kesalahan.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment