Galak sertai Kelab Doktor Muda

Sunday, April 22, 2018

Galak sertai Kelab Doktor Muda

Galak sertai Kelab Doktor Muda

SERAMAI 800 murid di 27 sekolah di Kemaman telah mendaftar sebagai ahli Kelab Doktor Muda di mana ahli kelab itu ringkasnya dipanggil sebagai doktor muda.

Kelab Doktor Muda merupakan salah satu badan kokurikulum di sekolah yang keahliannya terdiri daripada murid tahun empat hingga enam yang dipilih berdasarkan kriteria tertentu.

Adun Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar berkata, Kelab Doktor Muda itu disyorkan ditubuhkan di semua sekolah rendah di daerah ini dalam memberi kesedaran kepada murid kepentingan menjaga kesihatan.

Menurutnya, doktor muda bertindak sebagai pembimbing rakan sebaya dan pemangkin kepada perubahan pengetahuan, sikap dan amalan murid ke arah yang positif.

Beliau berkata, murid adalah aset yang penting dan pewaris kepimpinan negara pada masa hadapan, justeru tahap kesihatan yang baik dalam kalangan murid dapat meningkatkan pencapaian kecemerlangan mereka dalam bidang kurikulum dan kokurikulum.

“Melihat kepada isu-isu semasa kesihatan yang berkait dengan masalah kesihatan murid seperti obesiti, pemakanan yang tidak sihat dan amalan cara hidup tidak aktif ianya merupakan satu cabaran kepada peranan kepada doktor muda ini.

“Namun, dengan adanya doktor muda ini ia dapat beri kesedaran kepada murid agar sentiasa mementingkan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Kem Nak Sihat anjuran Pejabat Kesihatan dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Kemaman di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baharu, di sini.

Wan Abdul Hakim berkata, beliau yakin sekiranya guru-guru dapat memberi ruang waktu yang lebih kepada doktor muda terbabit, mereka mampu membantu masalah kesihatan yang membelenggu murid ketika ini.

“Ianya Selaras dengan Transformasi Terengganu Baru (TTB) di bawah prinsip ke 8 iaitu memperkasa bidang pendidikan. Diharapkan program Doktor Muda ini dapat mempertingkatkan mutu pendidikan di Terengganu,” katanya.

300 ahli kelab sertai Kem Nak Sihat

Sementara itu, menyentuh mengenai Kem Nak Sihat yang disertai seramai 300 ahli Kelab Doktor Muda, kata Wan Abdul Hakim, ia diadakan bersempena sambutan Hari Kesihatan Sedunia peringkat daerah Kemaman.

Ia juga sebagai persediaan pemilihan wakil peserta ke pertandingan Konvensyen Health Promotion in Learning Institution (HePili) peringkat Negeri Terengganu.

Dalam majlis ini beliau turut membuat lawatan ke reruai pameran yang disediakan oleh Pejabat Kesihatan Kemaman dan turut dikendalikan bersama oleh doktor muda, antaranya reruai Cegah Denggi, Tak Nak Merokok, Kualiti dan Keselamatan Makanan dan Penyakit Tibi.

Bersempena program itu juga beberapa pertandingan diadakan bagi pemilihan daerah ke peringkat negeri.

Dalam pertandingan tersebut SK Pusat muncul pemenang pertandingan senam sihat manakala SK Kijal memenangi Pertandingan Lompat Tali.

SK Kuala Kemaman pula berjaya merangkul Anugerah Tokoh Doktor Muda menerusi calon Tokoh Doktor Mudanya, Nur Aidina Yasmin Mohd Shaari.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment