Calon digugur reda

Monday, April 23, 2018

Calon digugur reda

Calon digugur reda

AYER KEROH: Enam penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka tidak disenarai semula sebagai calon Barisan Nasional (BN) Melaka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Mereka adalah EXCO Hal Ehwal Syarikat, Sumber Manusia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Datuk MS Mahadevan; EXCO Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Seri Md Yunos Husin serta Timbalan EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Sazali Muhd Din.

Tiga lagi yang lebih awal mengisytiharkan untuk tidak bertanding adalah EXCO Perpaduan dan Pengguna negeri, Datuk Lai Meng Chong; EXCO Kesihatan, Sukan dan Antidadah negeri, Datuk Wira Ab Rahaman Ab Karim serta EXCO Komunikasi, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi, Datuk Seri Latiff Tamby Chik.

Rata-rata mereka yang ditemui mengakui menerima keputusan itu dengan hati yang terbuka.

Sazali yang menyandang kerusi DUN Paya Rumput berkata, beliau reda menerima keputusan itu dan tetap menyokong BN selamanya.

"Walau apa pun keputusannya, saya reda dan prinsip perjuangan saya tetap kekal iaitu akan setia dengan parti.

"Malah, saya juga meletakkan keyakinan kepada calon baharu di kerusi itu, Datuk Wira Dr Abu Bakar Md Diah, yang sebelum ini Ahli Parlimen Tangga Batu untuk terus mengekalkan kemenangan BN di DUN Paya Rumput," katanya yang ditemui selepas pengumuman calon BN oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Idris Haron, di Seri Bendahara, di sini, hari ini.

Latiff yang menyandang kerusi DUN Telok Mas berkata, keputusannya untuk tidak bertanding adalah pilihan yang tepat selepas pembabitan sebagai ahli UMNO selama 45 tahun.

"Pengisytiharan saya juga adalah untuk memberi peluang kepada muka baharu.

"Saya sendiri sudah berusia 68 tahun dan kini, tiba masanya saya beri tumpuan pada perniagaan keluarga. Jadi, sama-sama kita membantu calon baharu di kerusi DUN Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman untuk memastikan kawasan ini kekal milik BN," katanya.

Mahadevan pula berkata, rezeki tidak memihak kepadanya kali ini dan menganggap beliau masih belum berjaya menambat hati ramai pengundi.

"Saya akan membantu jika khidmat dalam MIC masih diperlukan," katanya yang juga penyandang kerusi DUN Gadek.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment