Berita palsu jejas kredibiliti BN

Sunday, April 1, 2018

Berita palsu jejas kredibiliti BN

Berita palsu jejas kredibiliti BN

BAGAN SERAI - Isu pemansuhan elaun pesawah dan nelayan merupakan antara penyebaran berita palsu dilakukan pihak tidak bertanggungjawab di Parlimen Bagan Serai bagi menjejaskan kredibiliti kerajaan BN.

Ketua Umno bahagian Bagan Serai, Datuk Sham Mat Sahat berkata, penyebaran berita palsu itu dilakukan pihak tertentu sejak kebelakangan ini dan dakwaan itu tidak benar kerana kerajaan BN sentiasa komited membela nasib petani dan pesawah.

Menurutnya, selain pemansuhan elaun pesawah dan nelayan, terdapat pelbagai bantuan subsidi kerajaan lain didakwa bakal dimansuhkan kerajaan sekiranya menang PRU14 dan tindakan penyebarannya melalui media sosial sedikit sebanyak mengelirukan pemikiran rakyat.

"Rakyat di negara ini diminta berhati-hati dengan tohmahan berita palsu dilemparkan menerusi media sosial kerana ia boleh meruntuhkan sesebuah kerajaan.

"Ini kerana penyebaran berita palsu yang  tidak dapat dipastikan kebenaran boleh mendatangkan malapetaka kepada negara.

"Sebelum ini, keselamatan kita diancam dengan komunis, dan kini ancaman bertukar menerusi media sosial terutama telefon bimbit apabila perkara fitnah boleh disebarkan begitu pantas," katanya kepada media pada program Inisiatif Melestari Pembangunan Komuniti (IMPAK) di pekarangan Arked MARA di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, Pengarah Mara Perak, Yahaya Sani dan Pegawai Daerah Kerian, Mohd Sabli Bakri.

Sham yang juga Adun Alor Pongsu menegaskan sudah bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) baru-baru ini untuk mengadakan program penerangan mengenai ancaman berita palsu

Mengenai perlaksanaan program IMPAK,  Sham mendedahkan program itu menawarkan 25,000 peluang pekerjaan setahun.

Menurutnya, sebanyak 70 agensi dan syarikat terbabit dalam menyelesaikan masalah pekerjaan dihadapi rakyat di negara ini.

"Program IMPAK oleh Mara ini amat penting dalam memastikan masa hadapan peniaga perusahaan kecil dan sederhana(PKS) dan golongan belia terjamin,"katanya.
 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment