Batal ECRL penganiayaan kepada warga Pantai Timur

Sunday, April 1, 2018

Batal ECRL penganiayaan kepada warga Pantai Timur

Batal ECRL penganiayaan kepada warga Pantai Timur

KUANTAN: Cadangan membatalkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) seperti yang dinyatakan Tun Dr Mahathir Mohamad adalah satu penganiayaan kepada rakyat di Pantai Timur.

Ketua Pemuda UMNO Pahang, Shahar Abdullah, berkata Dr Mahathir sememangnya tidak pernah menyayangi rakyat di Pahang, Terengganu serta Kelantan sejak ketika beliau menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun.

Katanya, berlaku ketidakseimbangan ekonomi masyarakat di Pantai Timur dengan Pantai Barat ketika pengerusi pakatan pembangkang itu berkuasa, sebaliknya usaha mengurangkan jurang berkenaan giat dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kini.

"Cadangan untuk menghentikan ECRL sekiranya pakatan pembangkang menang pilihan raya adalah satu isyarat jelas bahawa beliau menolak pembangunan di Pantai Timur, tidak menyayangi mereka dan tidak mahu melihat mereka maju.

"Saya yakin orang di Pantai Timur sudah tentu gembira apabila ECRL siap dalam tempoh enam tahun lagi kerana ia akan mengubah sosio-ekonomi di pantai timur terutama kepada anak-anak muda," katanya ketika dihubungi NSTP di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Dr Mahathir pada Program Bicara Bersama Tun M Siri 2.0: Cabaran Ekonomi Anak Muda di Putrajaya hari ini yang tidak menolak kemungkinan pakatan pembangkang akan menghentikan projek ECRL sekiranya menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Ia kerana dakwa Dr Mahathir, projek bernilai RM55 bilion itu adalah satu pembaziran kerana tiada keperluan kemudahan itu disediakan untuk rakyat.

Ia bukan kali pertama Dr Mahathir membuat kenyataan untuk menghentikan projek ECRL sebaliknya pernah mencadangkan perkara sama pada 7 Februari lalu yang dibantah pelbagai pihak kerana menyebabkan kerajaan mengalami kerugian berbilion ringgit dan menjejaskan usaha menarik pelabur.

Mengulas lanjut, Shahar turut meminta Dr Mahathir supaya tidak mengelirukan rakyat dengan mengemukakan fakta tidak benar seperti perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan ke Pelabuhan Klang, Selangor akan mengambil masa 14 jam.

"Saya difahamkan perjalanannya hanya mengambil masa empat jam setengah sahaja, ...tidaklah sampai 14 jam seperti dinyatakannya dan ia jelas satu cubaan untuk mengelirukan rakyat.

"Lebih baik beliau merujuk kepada Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) untuk mendapat maklumat tepat, jangan sebarkan fakta tidak benar demi kepentingan diri sendiri tanpa memikirkan akibat jangka panjang," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment