Anak Abdul Hadi calon PAS DUN Batu Buruk

Thursday, April 19, 2018

Anak Abdul Hadi calon PAS DUN Batu Buruk

Anak Abdul Hadi calon PAS DUN Batu Buruk

MARANG: Selepas 36 tahun atau lapan penggal, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang melepaskan legasinya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang dan akan hanya bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Marang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

PAS meletakkan Setiausaha Politik Abdul Hadi, Prof Dr Ahmad Samsuri Mokhtar untuk bertanding kerusi DUN berkenaan.

Ketua Pemuda PAS negeri yang juga anak Abdul Hadi, Muhammad Khalil pula buat julung kali bertanding pada PRU kali ini di DUN Batu Buruk, menggantikan penyandang Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.

Pengumuman dilakukan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Husain Awang di hadapan lebih 5,000 penyokong parti itu pada Majlis Pengisytiharan Calon Pas Terengganu PRU14 yang diadakan di Dewan Tok Guru, Rusila, di sini, malam ini.


Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (tengah) bersama calon PAS melafazkan baiah pada majlis pengumuman calon-calon PAS yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) malam ini. Abdul Hadi antara 40 calon PAS yang akan bertanding bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri pada PRU14 kali ini. - Foto BERNAMA

Husain Awang, berkata PAS mempertaruhkan 19 muka baru iaitu 15 di kerusi DUN dan empat di Parlimen.

Beliau berkata, daripada keseluruhan 40 calon, 60 peratus terdiri daripada calon berlatar belakangkan pengajian Islam, profesional (22 peratus) dan selebihnya usahawan berjaya.

Katanya, semua 32 kerusi DUN dan lapan Parlimen ditandingi calon yang merupakan ahli parti berkenaan.

"Ini sekali gus menangkis dakwaan segelintir pihak yang menuduh PAS bekerjasama dengan parti lain pada PRU kali ini," katanya.

Semua Ahli Parlimen dan ADUN PAS yang menang dalam PRU-13 lalu masih disenaraikan untuk kembali mempertahankan kerusi masing-masing kecuali di DUN Batu Buruk dan Wakaf Mempelam.

Selain Muhammad Khalil yang akan bertanding di Batu Buruk, Yang DiPertua PAS Kawasan Kuala Terengganu, Wan Sukairi Abdullah menggantikan penyandang empat penggal, Abdul Wahid Endut di kerusi Wakaf Mempelam.

Empat muka baharu bagi kerusi Parlimen ialah Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim yang akan bertanding di kerusi Kuala Terengganu, Muhyidin Abd Rashid (Hulu Terengganu), Shaharizukirnain Abd Kadir (Setiu) dan Che Alias Hamid (Kemaman).

Senarai calon baharu kerusi DUN pula ialah Azbi Salleh (Kuala Besut), Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman (Kota Putera), Mat Daik Mohamad (Hulu Besut), Zul Bhari A Rahman (Permaisuri), Azmi Maarof (Langkap), Mohd Shafizi Ismail (Batu Rakit), Mohd Fadzil Wahab (Seberang Takir), Ahmad Shah Muhamed (Bandar), Kamaruzaman Abdullah (Telemong), Maliaman Kassim (Ajil), Ghazali Sulaiman (Bukit Besi) dan Ir Saiful Azmi Suhaili (Kemasik).

Semua calon juga mengangkat sumpah bai'ah sebagai tanda taat setia kepada parti.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment