Ah Cheng positif tawan Dun Bandar

Sunday, April 22, 2018

Ah Cheng positif tawan Dun Bandar

Ah Cheng positif tawan Dun Bandar

KUALA TERENGGANU - Toh Seng Cheng atau mesra disapa dengan panggilan ‘Ah Cheng’ di kalangan penduduk di Dun Bandar merupakan satu-satunya pemimpin BN yang telah dinamakan sebagai calon lebih setahun lalu.

Beliau mewakili BN di satu-satunya kerusi tradisi bagi MCA di negeri ini yang dijadikan sandaran untuk meyakinkan semula pengundi setelah kerusi itu terlepas kepada PKR dalam PRU13.

“Kita telah bergerak setahun lebih, jadi kita akan kekalkan momentum dan pastikan pergerakan kita sampai ke kemuncak, semangat pasukan kita kena ‘up’ untuk menuju ke PRU.

“Buat masa ini, saya nampak semua komponen parti mahupun semua sayap menumpukan perhatian sepenuhnya dalam menghadapi PRU ini,” katanya ditemui pada Majlis Pengumuman Calon di Kediaman Seri Iman, di sini, semalam.

Beliau amat yakin terhadap potensi kemenangan di pihak BN, namun mengingatkan jentera parti tidak boleh leka dan perlu terus berusaha dengan gigih untuk pastikan kemenangan mutlak BN di Dun Bandar.

Setiausaha MCA Bahagian Kuala Terengganu itu telah bersama MCA sejak 2004 dan kemudiannya dilantik sebagai Pegawai Penyelaras Dun Bandar.

Beliau juga merupakan pemimpin muda yang memperlihatkan ciri dan perwatakan sebagaimana bekas-bekas wakil rakyat MCA terdahulu.

Menurutnya, Dun Bandar mempunyai seramai 20,217 pengundi dan separuh daripadanya adalah pengundi muda.

“Semua undi penting cuma bagi memastikan kemenangan berpihak kepada kita, fokus kita kepada pengunda muda kerana mereka mudah terpengaruh terutama media sosial yang kebanyakan mesej disampaikan tidak tepat dan diputarbelitkan.

“Jadi, saya berharap sebagai pengundi muda, minta mereka lebih peka dan membuat analisis dulu sebelum menerima satu-satu berita,” katanya.

Sementara itu beliau tidak menolak, kekalahan BN pada PRU13 di Dun Bandar berpunca ‘tsunami’ daripada belia yang terpengaruh dengan pelbagai isu dibangkitkan parti lawan sehingga menimbulkan kemarahan rakyat.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment