4 polis terbabit 5 kes bunuh?
SEREMBAN: Seorang pegawai dan tiga anggota polis antara ditahan susulan penemuan serpihan tulang di dua lokasi berasingan di daerah ini, minggu lalu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin, berkata pegawai dan anggota berusia 27 hingga 41 tahun itu dipercayai terbabit dengan ahli kongsi gelap Geng 36 yang merancang pembunuhan lima mangsa berkenaan sejak tiga tahun lalu.
Beliau berkata, mereka yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dan Pahang itu ditahan 6 April lalu, susulan penahanan 34 ahli kumpulan kongsi gelap berkenaan dalam Ops Khas Hoben 1/2018.
Katanya, seorang lagi lelaki tampil menyerah diri hari ini dan mengaku terbabit dalam pembunuhan berkenaan, menjadikan 39 suspek ditahan setakat ini.
"Berdasarkan siasatan, ahli kongsi gelap itu disyaki membunuh dan menanam lima mayat mangsa.
"Polis menemui dua rangka manusia ditanam dalam hutan di Batu 8 Jalan Sungai Gadut dan tiga rangka manusia di Bukit Galena, Jalan Seremban-Mantin.
"Pegawai dan anggota yang ditahan itu disyaki terbabit merancang pembunuhan berkenaan manakala motifnya dipercayai ada kaitan dengan urus niaga dadah," katanya pada sidang media di IPK Negeri Sembilan di sini, hari ini.
Noor Azam berkata, semua serpihan tulang manusia itu dihantar ke Unit Patalogi dan Forensik untuk mengenal pasti identiti mangsa.
Katanya, beberapa individu yang kehilangan ahli keluarga sudah tampil membantu proses pengambilan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) dan polis masih menyemak rekod orang hilang bagi mengesan waris lain.
Mengenai kemungkinan ada mangsa lain dibunuh, Noor Azam berkata, siasatan lanjut masih dijalankan.
Katanya, semua suspek terbabit kini direman 28 hari mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk siasatan lanjut.
Pada 11 April lalu, polis menemui dua kubur tidak bertanda di dalam hutan berhampiran sebuah kuil terbiar di Batu 8, Jalan Sungai Gadut selepas membawa suspek ke lokasi berkenaan.
Susulan penemuan itu, polis menemui pula kubur mangsa lain di Bukit Galena di Jalan Seremban-Mantin, berhampiran susur ke Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) pada 13 April.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment