15 jam harung laluan berliku 17km

Saturday, April 7, 2018

15 jam harung laluan berliku 17km

15 jam harung laluan berliku 17km

HULU BESUT- Walaupun jarak perjalanan hanya 17 kilometer, namun sebanyak 16  kenderaan pacuan empat roda dari Kelab 4x4 Belantara  Besut mengambil masa 15 jam untuk tiba di Sungai Terengganu Mati, Keruak.

Pengerusinya, Wan Nadzlen Wan Mohamed berkata, walaupun jarak  dekat tetapi disebabkan faktor keadaan permukaan jalan balak lama yang sukar menyebabkan kira-kira 40 peserta terpaksa bersengkang mata sehingga ke waktu siang.

Menurutnya, ahli kelab yang menggunakan pelbagai jenis kenderaan pacuan empat roda itu  bertolak dari Bandar Jertih kira-kira jam 11 malam melalui jalan raya ke Keruak sejauh 30 kilometer yang memakan masa hanya 45 minit sahaja.

“Dari pekan Keruak mereka meneruskan perjalanan  melalui ladang kelapa sawit sejauh 15 kilometer sebelum bermula laluan mencabar  yang benar-benar menguji ketahanan mental dan  kemahiran memandu di laluan sukar.

“Ekpedisi ke Terengganu Mati ini menuntut semangat kerjasama yang tinggi di kalangan peserta kerana banyak halangan perlu dilepasi seperti menempuh lurah air, laluan berselut  dan bukit curam yang memerlukan kenderaan ditarik dengan ‘winch’,” katanya.

Wan Nadzlen berkata lagi, keadaan menjadi bertambah rumit apabila beberapa buah kenderaan  mengalami kerosakan ketika cuba melepasi laluan sukar memaksa ia ditarik keluar oleh kenderaan lain.

Menurutnya, semua peserta tidak tidur daripada malam sehinggalah sampai di lokasi kerana setiap peserta mempunyai peranan dalam memastikan setiap kenderaan dapat keluar dari halangan dengan segera.

“Bagaimanapun penat lelah peserta berhempas pulas  selama 15 jam   hilang sekelip mata apabila mereka selamat sampai di lokasi dituju.

“Sampai di lokasi, kami memasang khemah dan  ada peserta yang ditugaskan memasak manakala ada di kalangan mereka pergi ‘memburu’ raja air tawar iaitu ikan kelah,” katanya.

Beliau berkata lagi, pada hari ketiga mereka bertolak balik awal pagi dan semua selamat sampai di bandar Jertih kira-kira jam 9 malam kerana terpaksa keluar melalui jalan sama.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment