VAR jadi tumpuan di Piala Dunia

Monday, March 5, 2018

VAR jadi tumpuan di Piala Dunia

VAR jadi tumpuan di Piala Dunia

KUALA LUMPUR: Penggunaan teknologi video bantuan pengadil (VAR) diyakini antara elemen yang bakal menjadi tumpuan sepanjang Piala Dunia 2018 di Russia pada Jun dan Julai depan.

Ia menjadi medan ujian terbesar buat sistem berkenaan selepas beberapa liga utama Eropah termasuk Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Bundesliga di Jerman sudah menggunakan teknologi berkenaan bagi membantu pengadil membuat keputusan lebih tepat.

Bagaimanapun, terdapat juga kritikan negatif terhadap teknologi berkenaan termasuk yang disuarakan pengurus Chelsea, Antonio Conte dan rakan sejawatnya di Arsenal, Arsene Wenger yang mempersoalkan penggunaan VAR, ketika pertembungan dua kelab gergasi itu, Januari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh berpendapat Piala Dunia adalah kejohanan terbaik untuk menentukan sejauh mana kemampuan VAR boleh meningkatkan kualiti dalam keputusan pengadil.


PEMERHATIAN di bahagian teknikal sedang menilai rakaman video. FOTO/AFP

Beliau berkata, semua negara termasuk Malaysia yang bercita-cita untuk melaksanakan VAR dalam liga masing-masing boleh melakukan penilaian terbaik sebelum mengeluarkan perbelanjaan besar untuk teknologi itu.

Katanya, kos untuk melaksanakan teknologi berkenaan bergantung kepada kualiti VAR itu dan yang paling murah dianggarkan bernilai tidak kurang daripada RM15 juta.

"Persiapan untuk pertandingan Piala Dunia jauh sekali berbeza jika hendak dibandingkan dengan mana-mana pertandingan dalam negara mahupun di luar negara.

"Pelaksanaan VAR di Piala Dunia sudah pasti menarik untuk disaksikan kerana pelbagai reaksi positif dan negatif mengenai sistem berkenaan sudah kita dengar sebelum ini.

"Malah, pelbagai bentuk latihan termasuk dari segi 'offline, online dan simulator' dirancang khusus untuk membantu semua pengadil agar dapat membuat keputusan yang terbaik.

"Antaranya untuk memastikan masa yang diambil oleh VAR bagi membantu pengadil membuat keputusan tidak terlalu lama sehingga boleh menjejaskan kelancaran perlawanan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kelmarin, Ahli Lembaga Persatuan Bolasepak Antarabangsa meluluskan penggunaan VAR pada Piala Dunia 2018 dan Sukan NSTP, semalam turut melaporkan majoriti jurulatih Liga Malaysia (Liga M) menyokong penggunaan teknologi berkenaan walaupun masih perlu mengambil masa beberapa tahun lagi untuk dilaksanakan di negara ini.


TEKNOLOGI VAR bakal digunakan dalam aksi Piala Dunia 2018. FOTO/AFP

Selain itu, Subkhiddin turut percaya kelemahan tetap akan wujud walaupun teknologi tinggi seperti VAR digunakan untuk membantu keputusan pengadil.

"Sama seperti pasukan profesional yang membuat pelaburan besar untuk pasukan mereka, mempunyai jurulatih dan pemain yang hebat, bijak membuat perancangan taktikal dan sebagainya, tetapi akhirnya faktor kesilapan pemain tetap juga berlaku dan menidakkan pasukan itu untuk menjadi juara.

"Begitu juga dengan VAR, ia adalah gabungan teknologi dan manusia yang pada akhirnya dikuasai oleh manusia untuk memutuskan sesuatu keputusan. Justeru, kekurangan dan kesilapan sudah tentu tidak dapat dielakkan," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment