Universiti Malaysia pilihan utama pelajar antarabangsa
JERTIH: Sistem pendidikan tinggi Malaysia yang berkualiti mendorong semakin ramai pelajar antarabangsa memilih untuk melanjutkan pelajaran di universiti negara ini, setiap tahun.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata peningkatan sambutan menggalakkan dari semasa ke semasa itu menyebabkan pihak universiti mempertingkat kapasiti masing-masing.
Ketika ini, beliau berkata, ada 170,000 pelajar asing menuntut di pelbagai universiti tempatan dan jumlah itu dijangka bertambah hingga 200,000 orang menjelang 2020.
Katanya, perkembangan itu berikutan pelajar asing sangat mempercayai ketinggian kualiti pendidikan dilaksanakan kini, sekali gus menjadikan Malaysia pilihan utama melanjutkan pelajaran.
"Kepercayaan ini juga disebabkan pencapaian universiti awam (UA) Malaysia yang mampu bersaing dengan universiti terkenal luar negara," katanya selepas merasmikan Malam Serumpun Sejagat di Kampung Kubang Depu dekat sini, malam tadi.
Majlis itu meraikan 134 pelajar dari 37 negara luar yang menyertai program keluarga angkat bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kubang Depu selama tiga hari yang berakhir hari ini.
Sementara itu mengulas manifesto pakatan harapan mengenai isu pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pula, Idris yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO mengingatkan rakyat supaya jangan terpengaruh kerana pembangkang pernah berjanji untuk memansuhkannya sebelum ini.
"Kali ini, ia masih dikekalkan tetapi mereka menukar kaedah bayaran sahaja," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment