'Kelas Twitter' Cekgu Zac jadi tumpuan
KUALA LUMPUR: "Alphafoxtrot, in other words ada fehemm? I hope you learned something new, cak!"
Pengikut akaun Twitter @thealphafoxtrot pasti biasa mendengar ungkapan itu diucapkan oleh 'Cekgu Zac' sebelum mengakhiri pengajaran Bahasa Inggeris menerusi medium laman sosial berkenaan.
Siapa 'Cekgu Zac'? Mengapa entri pemiliknya kerap melintasi garis masa 'netizen' sejak awal tahun ini?
Melihat kepada rupa dan gaya percakapan dengan pelat Inggeris pekat, mesti ada menyangka Cekgu Zac atau Zachariah Aidin Druckman, 28, sebagai 'Mat Salleh' yang menetap di Malaysia.
Hampir setiap hari, beliau menggunakan media sosial terutama Twitter, berkongsi ilmu berkaitan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris, selain menjawab pertanyaan netizen yang mahu mengetahui kaedah sebutan betul.
Bagaimanapun, sesekali terkeluar kefasihannya bertutur bahasa Melayu loghat Utara pekat ketika memberi penjelasan.
Dilahirkan di Carbondale, Illinois, Amerika Syarikat dan membesar di Bayan Lepas, Pulau Pinang, Zachariah mengaku sebagai murid nakal yang gemar 'membuli' guru bersama rakan, malah sering berada dalam kelas corot.
Ketentuan perjalanan hidup menyaksikan beliau mendapat tawaran mengikuti kursus Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Teknologi MARA (UiTM).
"Waktu itu saya sangkakan TESL adalah perkataan 'cool' untuk bahasa Inggeris memandangkan saya amat meminati dan cemerlang dalam bahasa itu.
"Sebaik ke universiti, baru saya sedar ia adalah permulaan menjadi pendidik. Bayangkan, pelajar yang dulu gemar mengusik cikgu bakal menjadi guru.
"Inilah kuasa Allah. Sungguhpun menjadi guru bukan minat utama, saya lakukannya demi ibu yang pada asalnya belajar bidang yang sama tetapi tidak kesampaian," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Berbeza perwatakan menerusi laman sosial yang gila-gila hingga dianggap menjengkelkan oleh sesetengah netizen, Zachariah amat serius dan memiliki minat mendalam dalam mengajar Bahasa Inggeris.
Katanya, arus pemodenan menggabungkan kaedah pembelajaran tradisional dan digital atau blended learning.
"Maknanya, bukan semua waktu memerlukan kehadiran pelajar, ada kalanya tugasan dijalankan secara dalam talian.
Manfaat media sosial
"Bagaimanapun, menghantar e-mel sahaja tidak cukup bagi saya, maka saya manfaatkan penggunaan teknologi untuk menyebar luas ilmu menerusi media sosial.
"Dalam sesetengah tugasan, saya minta mereka merakam video dan memuat naik di YouTube atau menghantar nota suara menerusi WhatsApp.
"Saya ingin buktikan penguasaan media sosial secara bijak dan berhemah boleh membawa kebaikan," katanya.
Kaedah itu mencetuskan idea bagi Zachariah mengaplikasi teknik sama dalam mendidik masyarakat, sekali gus membuatkan akaunnya 'meledak' susulan kerajinannya melayan pengikut dalam hal berkaitan Bahasa Inggeris.
Akaun media sosialnya dikemas kini setiap hari, termasuk video berbentuk pembelajaran Bahasa Inggeris secara santai.
"Soalan netizen lebih kepada cara sebutan perkataan, penggunaan nahu dan maklumat berkaitan yang wajar dikongsi.
"Saya mahu orang ramai mendapat manfaat menerusi video dimuat naik, tetapi tidak sangka daripada 11 pengikut di Twitter boleh mencecah lebih 56,000 pengikut dalam tempoh singkat," katanya berseloroh.
Meminati bidang seni teater, Zachariah menganggap sesi dalam kelas berkait rapat dengan suasana pementasan yang memerlukan lontaran bacaan serta sebutan jelas.
Gemar berpakaian unik
Atas dasar kreativiti dan pengalaman tujuh tahun mengajar seni lakonan teater, beliau kerap menyarung pakaian cosplay ke kelas.
Antara karakter pilihannya ialah Profesor Snape dalam filem Harry Potter, Sosuke Aizen daripada animasi Bleach dan Borsalino Kizaru daripada One Piece.
"Mulanya pelajar terkejut tapi lama-lama mereka seronok. Pihak pengurusan tiada masalah kerana saya tetap mematuhi kod pakaian rasmi.
"Definisi matang bukan berkemeja atau kot untuk kelihatan profesional, tetapi lebih kepada jika kita selesa menjadi diri sendiri.
"Saya tegas ketika mengajar kerana saya melaksanakan tanggungjawab sebagai pendidik," katanya.
Mula mengumpul pakaian cosplay sejak 2012, Zachariah mempunyai lebih 60 pasang persalinan yang kebanyakannya dibeli dalam talian.
"Bagaimanapun, jika ada mesyuarat atau majlis rasmi, saya tidak berpakaian sedemikian. Saya masih waras," katanya sambil ketawa.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment