Tedung selar empat meter tiba-tiba muncul
MARANG - Sebuah keluarga di Kampung Tambak Baru di Wakaf Tapai di sini, cemas apabila seekor ular tedung selar tiba tiba muncul di kawasan rumah mereka, semalam.
Dalam kejadian kira kira 4 petang itu, kehadiran reptilia sepanjang empat meter itu disedari salah seorang ahli keluarga terbabit, Raja Norhafiz Akmal Raja Mahmud, 19, yang berada di bengkel berdekatan rumah berkenaan.
Keadaan mula menjadi kelam kabut apabila ular itu menuju ke arah rumah hingga memaksa Raja Norhafis menjerit memaklumkannya kepada ahli keluarga lain yang berada di dalam rumah tersebut.
"Saya yang berada di dalam rumah bersama keluarga lain segera keluar dan terkejut melihat saiz ular tersebut. Ular itu kemudiannya bersembunyi di bawah rumah.
"Bimbang ular tedung selar itu keluar semula saya segera menghubungi bomba dan penyelamat untuk mendapat bantuan," kata Mohd Faizul Mohd Azn, 30, yang merupakan abang ipar Raja Norhafiz.
Mohd Faizul berkata, itu merupakan kali pertama mereka melihat ular tedung selar yang bersaiz besar dan ia juga merupakan kejadian pertama reptilia berbisa jenis itu tersesat masuk ke kawasan rumah.
Menurutnya, sepanjang menunggu ketibaan pasukan bomba dan penyelamat mereka mengawasi pergerakan ular tedung selar itu agar reptilia itu tidak terlepas atau bersembunyi di tempat yang lain.
"Mahu tak takut, saiz ular itu besar sangat tapi kami sekeluarga lega apabila pasukan bomba tiba dan berjaya menangkapnya. Kami juga bersyukur kerana tiada kejadian buruk berlaku," katanya.
Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Wakaf Tapai, Penolong Penguasa Bomba, Suraiti Ariffin mengesahkan menerima laporan, berkata, operasi berkenaan diketuai PBK 2 Mohd Naim Mohd Tan.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment