TRW perlu ada mentaliti menang

Thursday, March 1, 2018

TRW perlu ada mentaliti menang

TRW perlu ada mentaliti menang

YUSRI Che Lah mahu barisan pemain Kelantan menanamkan sikap mahu menang apabila bertemu Terengganu City FC pada perlawanan pusingan kedua Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.

Pemangku jurulatih The Red Warriors itu berkata, anak buahnya harus memiliki mentaliti sedemikian bagi meneruskan momentum kecemerlangan selepas berjaya memecahkan ‘tembok’ tanpa kemenangan dalam saingan Liga Super, sebelum ini.

“Matlamat utama kita adalah mencari kemenangan, itu paling mustahak kerana Kelantan mahu melangkah sejauh mungkin apatah lagi kempen Piala FA adalah landasan terbaik untuk mencipta kejayaan.   

“Jadi sikap mahu menang perlu harus ada dalam jiwa pemain ini sendiri kerana kemenangan malam esok (ini) pasti akan meningkatkan moral mereka,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Pengendali berusia 42 tahun itu membayangkan akan melakukan sedikit rombakan dan tindakan tersebut dilakukan selepas menilai keperluan pasukannya yang akan beraksi dalam dua pertandingan berbeza dalam tempoh seminggu.

“Tempoh rehat pemain juga kena ambil kira dan saya perlu lihat kepentingan mereka daripada pelbagai sudut termasuk kecergasan selepas mengharungi tiga perlawanan dalam masa tujuh hari, sebelum ini.

“Pendekatan saya kepada pemain untuk bertemu Terengganu City ini adalah dalam aspek bagaimana pasukan boleh bertahan kerana dalam aksi terakhir lalu kita melepaskan dua gol dan pemain tak boleh melakukan kesilapan sama,” katanya.

Pada masa sama, Yusri turut mengingatkan anak didiknya agar tidak memandang rendah keupayaan skuad kendalian Mohd Nor Derus walaupun beraksi dalam saingan Piala Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) musim ini.

Menurutnya, pengalamannya ketika membimbing Felcra FC dua tahun lalu menyaksikan semangat mereka sangat luar biasa setiap kali berdepan pasukan daripada liga teratas.

“Saya pernah melatih kelompok pasukan seperti Terengganu City dan dalam kempen Piala FA, kita cuma kalah tipis kepada pasukan ternama dari Liga Super atau Liga Perdana.

“Saya tahu kemampuan pasukan dalam Piala FAM apabila jumpa lawan lebih bagus, mereka akan beri komitmen dua kali ganda. Jadi, kita jangan fikir Terengganu City tak boleh beri saingan dalam Piala FA,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment