Tram pertama Malaysia di Putrajaya
KUALA LUMPUR: Malaysia memiliki sistem perkhidmatan tram yang pertama bakal diwujudkan di sekitar Putrajaya, sekali gus mengubah landskap pengangkutan awam negara setanding negara maju.
Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Azharuddin Mat Sah, berkata pihaknya mendapati sistem pengangkutan itu lebih cekap dan mesra alam sekitar, selain kos pembinaan 15 peratus lebih murah berbanding perkhidmatan monorel.
Beliau berkata, sistem tram yang bakal digunakan juga tidak sama seperti di San Francisco, Amerika Syarikat.
"Tram yang bakal diperkenalkan lebih baharu, moden dan senyap. Kita mengambil contoh tram di negara maju seperti Taiwan, China dan Eropah.
"Buat permulaan, tram ini akan beroperasi sejauh 53 kilometer membabitkan kawasan sekitar Putrajaya, Cyberjaya, Bangi dan Kajang.
"Kita akan pastikan sistem tram ini dihubungkan dengan pengangkutan awam yang lain antaranya Transit Aliran Massa (MRT), monorel dan bas bagi memudahkan akses orang ramai," katanya pada sidang media sesi pembentangan Laporan Tahunan Pengangkutan Awam Darat 2017 di Pusat Konvensyen Sime Darby di sini, hari ini.
Sementara itu, Azharuddin berkata, setakat ini pihaknya dalam perancangan membuka proses Permohonan Cadangan (RFP) dalam tempoh tiga ke enam bulan lagi.
Katanya, selepas mendapat RFP yang sesuai, pihaknya akan membentangkan kertas projek itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
"Kita sudah mengemukakan cadangan kepada kerajaan bagi projek berkenaan dan kini dalam proses RFP sebelum tender dibuka.
"Selepas itu, barulah kita cadang untuk memperluaskan sistem ini secara berfasa ke negeri lain," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment