Tiga lelaki berdepan tali gantung

Wednesday, March 14, 2018

Tiga lelaki berdepan tali gantung

Tiga lelaki berdepan tali gantung

BANDARAYA MELAKA - Tiga lelaki berdepan tali gantung selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, atas dua pertuduhan mengedar 201.3 kilogram dadah jenis methamphetamine, dua minggu lalu.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh Saw Boon Kee, 34, Kuan Hsieng Sieng, 38 dan Chin Gia Lin, 47, sejurus kertas pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Mandarin, di hadapan Majistret, Mohd Firdaus Saleh.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, ketiga-tiga tertuduh didakwa dengan niat bersama mengedar 201,321 gram dadah berbahaya jenis methamphetamine.

Kesalahan itu dilakukan di bahagian dapur dan stor bawah tangga sebuah rumah di Taman Belia Antarabangsa, Ayer Keroh, di sini sekitar jam 4 petang, pada 3 Mac lalu.

Justeru, kesemua mereka yang merupakan penganggur didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Terdahulu, prosiding yang dikendalikan Timbalan Pendakwaraya N. Sivashangari tidak mencadangkan sebarang jaminan dan memohon tarikh sebutan.

Mohd Firdaus kemudiannya mengekalkan tiada jaminan dibenarkan kepada semua tertuduh dan menetapkan 23 April sebagai sebutan semula kes sementara menunggu serahan laporan kimia.

Ketiga-tiga tertuduh diwakili Peguam, Low Wei Loke.


 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment