Belasah penjual aiskrim, 5 diberkas

Wednesday, March 14, 2018

Belasah penjual aiskrim, 5 diberkas

Belasah penjual aiskrim, 5 diberkas

KUALA PILAH - Berang panggilan tidak diendahkan, sekumpulan lelaki bertindak membelasah seorang penjual ais krim di Taman Eco Rimba Ulu Bendul, petang semalam.

Kejadian jam 6.15 petang di hentian rehat Ulu Bendul itu berlaku, sejurus mangsa warganegara Pakistan 30-an, meletakkan motosikalnya di kawasan tersebut sebelum dipanggil lima lelaki berusia 22 tahun hingga 30 tahun.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok, hasil maklumat daripada mangsa, kejadian berlaku apabila dia dipanggil oleh sekumpulan lelaki yang sedang mandi-manda di sungai berhampiran.

“Awalnya mangsa tidak menghampiri mereka, tetapi akur dan membawa ais krim kepada sekumpulan lelaki itu.

“Mungkin tidak berpuas hati, kelima-lima lelaki itu bertindak memukul mangsa menggunakan helmet, loceng aiskrim dan tangan.

“Mangsa menjerit meminta tolong kepada orang awam dan menyedari tindakan itu, sekumpulan lelaki itu terus melarikan diri.

“Bagaimanapun, orang awam sempat mencatat nombor pendaftaran lori dinaiki penyerang dan telah maklum kepada polis,” katanya.

Bertindak atas maklumat itu, kata Haslah, Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Ronda Bermotosikal (URB) yang bertugas diminta mengesan dua buah lori digunakan suspek.

Dalam tempoh sejam, polis berjaya mengesan dan menemukan dua buah lori di sebuah kedai makan di Terusan Juasseh.

“Mereka berjaya diberkas jam 7.20 malam di kedai makan tersebut. Dipercayai mereka mahu pulang ke Bahau, bagaimanapun singgah di kedai makan dan ketika ditahan, mereka semuanya sedang tidur di atas meja.

“Kini kelima-lima suspek direman hingga 17 Mac bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, mangsa yang cedera di bahagian kepala dan hidung, diberikan rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment