Tawar konsep pentadbiran amanah dan adil
SHAH ALAM - Manifesto pilihanraya yang dilancarkan oleh Gagasan Sejahtera secara keseluruhannya adalah satu konsep pentadbiran kerajaan yang amanah dan adil untuk semua rakyat.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, manifesto Malaysia Sejahtera yang mengandungi 20 tawaran utama itu adalah satu tawaran kepada rakyat untuk mendapatkan sebuah kerajaan yang lebih baik berbanding hari ini dari aspek pengurusan pentadbiran.
Menurutnya, Gagasan Sejahtera tidak menafikan pembangunan infrastruktur yang telah dilaksanakan kerajaan pusat hari ni, namun apa yang menjadi kritikan adalah dari aspek salah laku pengurusan.
âApa yang perlu ditonjolkan melalui tawaran Manifesto Gagasan Sejahtera ialah konsep pemerintahan yang adil untuk semua rakyat termasuk bukan Muslim. Kita perlu lihat, kalau soal infrastruktur untuk rakyat itu menjadi tanggungjawab kerajaan tak kira pihak mana, siapa jadi kerajaan kena laksanakan.
Kita tak akan robohkan lebuhraya atau musnahkan bangunan yang telah dibina oleh BN semasa memerintah, apa perlu dikritik ialah dari segi pengurusan, salah laku yang berlaku," katanya ketika program Dialog Anak Muda Gagasan Sejahtera, hari ini.
Abdul Hadi berkata, pengalaman beliau ketika menjadi MB Terengganu, ada sesetengah projek yang bernilai RM10 juta diletak harga RM 20 juta, namun projek tersebut tak siap dalam tempoh diberikan, kemudian lanjutkan tempoh hingga tukar kontraktor dan sebagainya.
âIni yang akhirnya mengundang kejadian bangunan runtuh, sekolah runtuh, makmal runtuh dan sebagainya akibat pengurusan pembangunan yang tak betul, perkara ini kita nak betulkan,â katanya.
Program anjuran Dewan Pemuda Pas Malaysia bersama Dewan Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia itu dihadiri kira-kira 100 anak muda bagi mengupas isu berkaitan manifesto Gagasan Sejahtera dan hala tuju masa depan Malaysia.
Selain itu, Abdul Hadi berkata, Pas dan Gagasan Sejahtera akan memastikan salah laku pengurusan seperti penyelewengan tidak akan berlaku jika gabungan politik itu diberi mandat oleh rakyat untuk memerintah.
Menurutnya, pengalaman Pas mentadbir beberapa negeri termasuk Kelantan sehingga kini menjadi testimoni kepada kemampuan parti itu memerintah walaupun berdepan beberapa isu dengan kerajaan pusat.
âPas pernah memerintah Kelantan hingga kini, pernah perintah sepenggal di Terengganu dan di Kedah secara bersama walaupun berdepan tekanan pencabulan terhadap konsep demokrasi dan konsep federalisme daripada kerajaan pusat seperti isu royalti minyak disekat dan lain-lain.
âNamun dengan dasar amanah dan tanggungjawab, kita berjaya mentadbir dengan baik malah kita masih mampu hapuskan cukai pintu kediaman, mansuhkan tol dan lain-lain perkara untuk kepentingan rakyat,â katanya.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment