Tahanan mati dalam lokap
CHUKAI - Seorang tahanan lelaki meninggal dunia dalam lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman akibat mengalami masalah jantung.
Duda berusia 50 tahun itu didapati tidak sedarkan diri oleh seorang tahanan lain kira-kira jam 6.20 petang pada Rabu lalu, sebelum perkara itu dimaklumkan kepada anggota polis yang bertugas menjaga lokap.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, sebelum itu salah seorang tahanan cuba mengejutkan lelaki tersebut yang kelihatan seperti sedang tidur namun setelah tidak memperoleh sebarang respons, kejadian itu dimaklumkan kepada anggota polis.
Katanya, selepas anggota lokap membuat pemeriksaan didapati lelaki itu memang tidak sedarkan diri sebelum pihak polis meghubungi ambulans.
"Doktor yang tiba ke lokap kemudiannya mengesahkan bahawa tahanan itu telah meninggal dunia.
"Mayat lelaki berkenaan selepas itu dibawa ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat," katanya.
Menurut Mohd Said, keputusan bedah siasat mengesahkan punca kematian lelaki itu disebabkan masalah saluran jantung tersumbat.
Tambah beliau, lelaki itu ditahan sehari sebelum itu (6 Mac) di sebuah kampung di Chukai dalam satu operasi yang dilakukan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) kerana didapati memiliki sejumlah dadah.
Katanya lagi, disebabkan memiliki dadah, lelaki itu diserahkan AADK kepada pihak polis bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment