SPRM siasat kelab sukan jabatan kerajaan
KOTA BHARU: Sebuah kelab sukan di bawah jabatan kerajaan berkaitan utiliti awam
di Kelantan dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana didakwa meminta sumbangan pembekal bagi kepentingannya.
SPRM mula menyiasat kelab sukan terbabit selepas dikatakan menerima dua aduan pada hujung tahun lalu oleh beberapa individu yang juga pembekal projek yang dikendalikan oleh jabatan itu.
Sumber memberitahu NSTP yang kakitangan jabatan itu meminta sumbangan daripada pembekal terbabit sebagai imbuhan atau hadiah selepas mereka diberi projek tertentu.
"Mereka (kakitangan terbabit) beranggapan bahawa tidak salah (meminta sumbangan) dan menganggap ia sebagai hadiah ketika mereka menerima wang daripada pembekal terbabit bagi digunakan untuk jamuan kelab termasuk ketika Aidilfitri.
"Adalah difahamkan bukan semua wang sumbangan itu diberikan kepada bendahari kelab sukan itu. Sebahagiannya dipercayai masuk poket kakitangan itu bagi kegunaan dia sendiri," katanya ketika ditemui di sini.
Pada 3 Mac lalu, Pengarah SPRM Kelantan, Datuk Moh Samsudin Yusof, dipetik sebagai berkata SPRM Kelantan sedang memantau beberapa kelab sukan dalam jabatan kerajaan di negeri itu, yang disyaki menerima barang berharga daripada pihak tertentu bagi kepentingan kelab.
Moh Samsudin pihaknya menerima maklumat ada dalam kalangan penjawat awam menerima hadiah atau derma daripada pihak yang mempunyai urusan rasmi dengan jabatan itu untuk kelab sukan mereka.
"Kita ada menerima laporan kesalahan rasuah ini dalam beberapa kelab sukan, yang menerima hadiah bagi tujuan menjalankan beberapa acara, termasuk jamuan Hari Raya dan sambutan hari jadi.
"Ada juga menerima derma daripada kontraktor yang ada urusan rasmi dengan mereka.
"Kita sedang menjalankan siasatan dan penjawat awam yang disyaki melakukan kesalahan ini boleh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaaan," katanya dipetik sebagai berkata.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment