Saman fitnah: Maria Farida peroleh RM400,000

Sunday, March 4, 2018

Saman fitnah: Maria Farida peroleh RM400,000

Saman fitnah: Maria Farida peroleh RM400,000

KUALA LUMPUR â€" Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, memerintahkan dua beranak membayar ganti rugi RM400,000 kepada pelakon, Datin Maria Farida dalam kes saman fitnah difailkan oleh pelakon itu, tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh membuat keputusan itu selepas mengambil kira kegagalan defendan iaitu ahli perniagaan, Hadijah Mohamed Mokhtar dan anaknya, Nur Shazleen Anis Mohd Yusoff untuk hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes saman berkenaan.

Wan Ahmad Farid memerintahkan Hadijah membayar ganti rugi RM300,000 manakala Nur Shazleen diperintah membayar RM100,000 selain mengarahkan dua beranak itu membayar kos RM50,000 kepada Maria Farida.

Dalam keputusannya, Wan Ahmad Farid berkata, mahkamah mengambil kira kesan fitnah dilakukan oleh kedua-dua defendan terhadap plaintif, Maria Farida atau nama sebenarnya, Maria Faridah Atienza

“Kedua-dua defendan telah memuat naik kenyataan yang memfitnah pelakon itu di dalam akaun Instagram milik mereka, yang mana kedua-dua beranak itu mempunyai ramai pengikut (followers) dalam Instagram masing-masing,” katanya.

Defendan pertama (Hadijah) mempunyai kira-kira 17,300 pengikut Instagram, manakala anaknya yang juga pramugari mempunyai kira-kira 13,000 pengikut.

Sementara itu, pada 7 November lalu, mahkamah mengeluarkan penghakiman penuh berikutan kegagalan kedua-dua defendan mematuhi arahan mahkamah, termasuk tidak hadir pada prosiding perbicaraan.

Melalui penghakiman itu, mahkamah antara lain mengeluarkan perintah supaya kedua-dua defendan membuat permohonan maaf kepada plaintif dan isi kandungannya perlu dipersetujui oleh plaintif sebelum diterbitkan di semua media termasuk Berita Harian dan disiarkan menerusi akaun Facebook serta Instagram milik defendan.

Selain itu, tuntutan balas difailkan Hadijah terhadap Maria Farida atas dakwaan pelakon itu membuat kenyataan media berunsur fitnah menerusi sebuah program hiburan pada 25 Oktober 2015 telah dibatalkan.

Pada 6 November 2017, Wan Ahmad Farid telah membenarkan perintah komital yang dimohon Maria Farida terhadap Hadijah atas kesalahan menghina mahkamah kerana mengingkari perintah injunksi bertarikh 2 Jun 2017, antara lain melarang defendan daripada membuat, mengeluarkan, menerbitkan, menyiar segala pernyataan terhadap Maria Farida.

Bagi kesalahan tersebut, Wan Ahmad Farid memerintahkan Hadijah membayar denda RM30,000 dan jika gagal hendaklah dikomitkan (dihantar) ke penjara selama dua minggu.

Maria Farida, 48, menyaman Hadijah atau lebih dikenali sebagai Karen Rahman dan Nur Shazleen pada 30 Disember 2016 atas dakwaan mengeluarkan pernyataan berunsur fitnah terhadap pelakon itu yang disiarkan menerusi Instagram, Facebook dan juga di akhbar Berita Harian.

Dalam pernyataan tuntutan, Maria Farida mendakwa, beliau telah menerima beberapa khidmat pesanan ringkas (SMS) yang berunsur penghinaan daripada Hadijah, selain mendakwa gambarnya turut digunakan bagi tujuan mempromosikan produk kecantikan milik Hadijah walaupun terdapat larangan untuk defendan pertama (Hadijah) berbuat demikian.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment