ROS dituntut jawab memorandum akar umbi PPBM

Friday, March 2, 2018

ROS dituntut jawab memorandum akar umbi PPBM

ROS dituntut jawab memorandum akar umbi PPBM

AMPANG: Lebih 50 ahli Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menggesa Pendaftar Pertubuhan (ROS) segera tampil memberi maklum balas terhadap memorandum yang dihantar mereka minggu lalu, berhubung isu membabitkan status parti itu.

Bekas EXCO Pemuda PPBM, Muhd Syazwan Ahmad Zainal, berkata pihaknya menghantar memorandum pada 22 Februari lalu menuntut ROS memberi penjelasan terhadap aduan yang dibuat berkaitan isu kewujudan sayap pemuda PPBM dan mesyuarat agung tahunan parti itu.

"Kami dapati, beberapa aduan yang dilaporkan sebelum ini berkaitan sayap pemuda dan mesyuarat agung tahunan yang tidak mengikut perlembagaan, tidak mendapat maklum balas yang sewajarnya daripada ROS.

"Sebagai ahli PPBM, kami menuntut penjelasan konkrit dan bertulis daripada ROS kerana di pihak akar umbi, kami berhak tahu apa sebenarnya yang terjadi dalam parti.

"Kami bagi tempoh seminggu kepada ROS untuk menjalankan tugas dan memberi penjelasan, jika gagal, lebih 3,000 ahli Pemuda PPBM dari seluruh negara akan berhimpun di depan Pejabat Perdana Menteri untuk menuntut penjelasan berkenaan," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai pergolakan dalaman parti itu, Muhd Syazwan berkata, jauh di sudut hati beliau dan beberapa bekas Exco Pemuda lain masih menyayangi PPBM, namun isu yang masih tidak diselesaikan menyebabkan ramai yang sudah tawar hati.

"PPBM tidak seharusnya menuduh pihak luar mencampuri urusan, sebaliknya selesaikan masalah dalaman parti terlebih dulu dan jangan jaga tepi kain orang lain.

"Ini kerana kami di peringkat akar umbi sudah muak dengan sandiwara barisan kepimpinan parti dan mahu penjelasan bukannya pelbagai alasan untuk menutup kesalahan," katanya.

Sementara itu, Muhd Syazwan turut menggesa Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir supaya segera tampil menerima cabaran debat yang dikemukakan bekas Setiausaha PPBM, Kamarulzaman Habibur Rahman, mengenai tujuan perjuangan dan hala tuju parti itu.

"Cabaran debat itu sudah lama dikemukakan namun sehingga hari ini, Mukhriz masih membisu.

"Sebagai anak jantan, beliau tidak seharusnya gentar untuk menerima cabaran itu dan tampil ke depan menjelaskan segala-galanya kepada akar umbi," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment