RM40j diagih untuk 500,000 penerima bantuan BiKUM

Friday, March 2, 2018

RM40j diagih untuk 500,000 penerima bantuan BiKUM

RM40j diagih untuk 500,000 penerima bantuan BiKUM

JELI: Biro Kebajikan UMNO (BiKUM) sudah mengagihkan bantuan bernilai lebih RM40 juta kepada 500,000 penerima di seluruh negara menerusi konvoi jelajah UMNO Bantu Rakyat 1.0 dan 2.0 sejak program itu dilancarkan Mei tahun lalu.

Pengerusi BiKUM, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata penerima terdiri daripada keluarga kurang berkemampuan tanpa mengira kaum dan fahaman politik di lebih 71 bahagian UMNO seluruh negara kecuali Sarawak.

Katanya, antara bentuk bantuan adalah kit bantuan makanan kepada golongan ibu tunggal, fakir miskin dan murid sekolah yang menerima akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional 1Malaysia (SSPN1M) bernilai RM100 seorang.

"Di Kelantan sahaja, dalam tempoh dua hari ini, kita sudah mengagihkan kit bantuan kepada lebih 8,000 golongan sasar termasuk veteran UMNO bernilai hampir RM1 juta.

"Penduduk kawasan terbabit adalah UMNO Bahagian Pasir Puteh, Kuala Krai, Bachok dan Jeli dan diharapkan bantuan ini dapat meyakinkan masyarakat bahawa usaha ini bukanlah untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) sebaliknya telah dimulakan lebih awal sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyampaikan bantuan makanan dan wang tunai kepada 1,000 penerima golongan sasar di Pusat Dakwah Jeli Pondok Moden di sini, malam ini.

Penyampaian sumbangan disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Balah, Datuk Abdul Aziz Derashid.

Terdahulu dalam majlis berasingan petang tadi, seramai 1,900 penerima di Bachok menerima sumbangan sama bernilai lebih RM190,000 yang disampaikan Shamsul Anuar sambil disaksikan MARA merangkap Ketua UMNO Bahagian Bachok, Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Program Jelajah UMNO Bantu Rakyat 2.0 di Kelantan bermula Khamis lalu, yang menyaksikan seramai 2,600 orang sekitar Pasir Puteh terdiri daripada ibu tunggal, murid sekolah dan veteran UMNO menerima sumbangan bernilai lebih RM160,000.

Siri jelajah diketuai Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong bersama 35 sukarelawan BiKUM itu kemudian bergerak ke Kuala Krai hari ini memberikan sumbangan kepada 1,000 penerima.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment