Remaja perempuan antara ditahan memiliki dadah
DUNGUN: Seorang remaja perempuan antara tujuh suspek ditahan polis kerana memiliki dadah jenis syabu, heroin dan methampetamine dalam dua serbuan berasingan di daerah ini, hari ini.
Remaja berusia 18 tahun itu ditahan bersama-sama tiga lelaki berumur antara 20 tahun hingga 32 tahun dalam serbuah pertama di sebuah rumah di Taman Permint Indah, kira-kira jam 2 pagi kelmarin.
Menerusi serbuan kedua yang dilakukan di sebuah rumah di Seberang Pintasan, kira-kira jam 4 pagi, polis menahan tiga lelaki.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, berkata serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Dungun bersama anggota Balai Polis Dungun hasil maklumat dan risikan dijalankan.
"Dalam serbuan pertama, kita menemui satu paket plastik cerah mengandungi lapan paket kecil plastik cerah berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu.
"Kita turut merampas sebuah kereta PERODUA Myvi yang menggunakan nombor pendaftaran palsu dan peralatan menghisap dadah.
"Hasil pemeriksaan ujian saringan awal air kencing mendapati tiga lelaki positif methampetamine dan empat suspek tidak mengaku dadah berkenaan adalah milik mereka," katanya.
Baharudin berkata, pihaknya menahan tiga lagi lelaki berusia antara 28 hingga 42 tahun serta merampas satu botol bertutup kuning berisi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin dan satu tiub straw berisi ketulan merah disyaki dadah jenis methampetamine.
Katanya, semua suspek yang positif dadah jenis methampetamine tidak mengaku memiliki dadah berkenaan ketika soal siasat dijalankan.
"Hasil pemeriksaan mendapati dua suspek berusia 42 tahun dan 28 tahun masing-masing mempunyai lapan dan dua rekod lampau berkaitan dadah.
"Semua suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment