Rejim Syria sekat konvoi bantuan

Thursday, March 1, 2018

Rejim Syria sekat konvoi bantuan

Rejim Syria sekat konvoi bantuan

KEGAGALAN rejim Bashar al-Assad menyediakan akses ke Ghouta Timur menyebabkan kira-kira 40 trak penuh berisi bekalan tidak dapat memasuki wilayah itu.
Malah, situasi dilaporkan bertambah buruk apabila tentera kerajaan terus membedil wilayah tersebut walaupun resolusi gencatan senjata Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) diterima pakai, Sabtu lalu.
Difahamkan, konvoi trak tersebut bersedia masuk ke 10 kawasan terkepung termasuk Douma.
Penolong Setiausaha hal ehwal kemanusiaan PBB, Mark Lowcock berkata, bantuan perlu segara disalurkan kepada penduduk Ghouta Timur kerana angka kematian dan kecederaan semakin meningkat.
"Tiada akses untuk konvoi kemanusiaan, tiada kebenaran oleh rejim untuk ke kawasan terkepung, tiada pemindahan perubatan sejak resolusi UNSC diluluskan," katanya dalam mesyuarat bulanan Majlis Keselamatan yang memberi tumpuan terhadap konflik Syria.
Sementara itu, wakil Amerika Syarikat (AS), Kelley Currie menuduh rejim Syria melanggar gencatan senjata manakala Duta Rusia, Vassily Nebenzia menuding jari menuduh pemberontak melakukan pelanggaran itu.
Timbalan Duta Sweden ke PBB, Carl Skau, menuntut akses segera bantuan kemanusiaan.
“Tiada sebab untuk melengahkan masa lagi,” katanya.
Sebelum mesyuarat bermula, Duta Perancis Francois Delattre berkata, pemberontak di Ghouta telah menyatakan kesediaan mereka untuk meletakkan senjata, namun rejim Syria tidak memberi tanda ia bersedia berbuat demikian.
Awal pagi kelmarin, jet pejuang Syria mengebom beberapa kawasan dalam wilayah pemberontak yang mana dianggarkan 600 orang awam maut sejak 18 Februari lalu.
Pemantau Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) memberitahu kira-kira suku daripada jumlah kematian itu adalah kanak-kanak. - AFP

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment