Pusat PERMATA Kurnia akan dibuka di Melaka

Thursday, March 1, 2018

Pusat PERMATA Kurnia akan dibuka di Melaka

Pusat PERMATA Kurnia akan dibuka di Melaka

PUTRAJAYA: Pusat PERMATA Kurnia yang menyediakan perkhidmatan intervensi awal dan pendidikan kepada kanak-kanak autisme akan diperluaskan penubuhannya ke Melaka.

Isteri Perdana Menteri merangkap Penaung Program PERMATA, Datin Seri Rosmah Mansor, berkata pusat itu adalah yang kedua selepas Pusat PERMATA Kurnia Sentul, Kuala Lumpur ditubuhkan pada Disember 2015.

Beliau berkata, pembinaan pusat berkenaan yang dilengkapi kemudahan terkini dengan suasana pembelajaran kondusif dijangka dimulakan pada bulan ini dan siap akhir tahun ini membabitkan kos sebanyak RM2.5 juta.

Katanya, pusat berkenaan yang akan memberi akses pendidikan kepada kanak-kanak autisme di Zon Selatan iaitu Melaka, Negeri Sembilan dan Johor, boleh menampung 150 pelajar bagi program prasekolah dan perkhidmatan intervensi awal.

"Memandangkan kemasukan ke pusat ini adalah melalui rujukan dari pihak hospital, PERMATA juga sudah mengadakan perbincangan dengan beberapa hospital kerajaan di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

"Daripada segi perjawatan pula, PERMATA memperoleh kelulusan sebanyak 22 perjawatan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi tenaga pengajar yang diperlukan.

"Pegawai Intervensi yang dilantik ini akan mengikuti Kursus Diploma Lanjutan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (Autisme) selama sembilan bulan dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) di bawah Kementerian Pendidikan, manakala Pembantu Pegawai Intervensi pula akan mengikuti Kursus Sijil Pendidikan Awal Kanak-Kanak (Autisme) iaitu Sijil Kemahiran Malaysia Tiga (SKM 3)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pajakan antara Pesuruhjaya Tanah Persekutuan dan Majlis Agama Islam Melaka bagi Projek Pembangunan Pusat PERMATA Kurnia Zon Selatan, di sini, hari ini.

Perjanjian itu ditandatangani Ketua Pengarah Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Datuk Dr Salehuddin Ishak dan Timbalan Pengerusi MAIM Datuk Wira Yaakub Md Amin.

Yang turut hadir, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron.

Mengulas lanjut, Rosmah berkata, hingga kini sebanyak 877 kanak-kanak autisme mendapat perkhidmatan intervensi awal dan pendidikan di Pusat PERMATA Kurnia dan daripada jumlah itu, 81 kanak-kanak berjaya meneruskan pendidikan ke kelas Tahun Satu dan tadika aliran perdana.

"Ini bermakna masa depan mereka lebih cerah untuk mencapai kehidupan lebih berdikari dan produktif.

"Selain memberikan perkhidmatan langsung kepada kanak-kanak autisme, Pusat PERMATA Kurnia juga berjaya memberi latihan kepada kira-kira 6,600 peserta terdiri daripada ibu bapa, guru dan masyarakat.

"Selain itu, latihan mengenai autisme yang dikenali sebagai i-Kurnia juga ditawarkan secara dalam talian dan boleh diakses secara percuma," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment