Muatnaik foto dapat duit

Wednesday, March 28, 2018

Muatnaik foto dapat duit

Muatnaik foto dapat duit

HULU TERENGGANU - Biarpun tidak memiliki kemahiran fotografi yang tinggi, namun sesiapa sahaja kini berpeluang menjana pendapatan pasif berterusan sehingga lebih RM5,000 melalui platform KREATIFMARKET.MY dengan hanya muatnaik foto.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia(KKMM), Datuk Seri Jailani Johari berkata pihaknya berharap orang ramai khususnya golongan belia tidak lepaskan peluang untuk menyumbangkan hasil karya kreativiti foto masing-masing.

"Program KREATIFMARKET.MY ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia. Penyumbang tidak perlu kemahiran fotografi yang tinggi untuk layakkan hasil kreativiti mereka diterima dan keutamaan ialah pada hasil karya punyai ciri-ciri tempatan.

"Setiap individu mampu memperolehi insentif sehingga RM600 bagi setiap karya dimuat naik. Manakala, bagi karya dijual melalui platform KREATIFMARKET.MY penyumbang mampu jana pendapatan pasif yang berterusan lebih RM5,000.

"Peluang ini hasil inisiatif Mynic dan disokong kementeriannya. Program   KREATIFMARKET.MY  merupakan platform pertama di negara ini yang komersial hasil karya seni fotografi tempatan atas talian berkonsepkan 'crowdsourcing'.

"Kita sediakan platform untuk rakyat jana pendapatan sampingan setanding platform antarabangsa seperti Shutterstock, Getty Images dan 123rf," katanya selepas lancarkan platform KREATIFMARKET.MY di Dewan Sivik Ajil, di sini.

Pada majlis berkenaan, Mynic turut menyampaikan sumbangan keperluan harian kepada 100 orang ibu tunggal dengan peruntukkan keseluruhan sebanyak RM5,000.

Tambah Jailani, seiring teras KKMM yang  memberi fokus dalam pemerkasaan industri kreatif dan gerakkan ekonomi digital negara, program KREATIFMARKET.MY dapat bantu tingkatkan taraf hidup masyarakat dengan jana pendapatan secara digital.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Mynic, Datuk Hasnul Fadhly Hasan berkata, sehingga kini pihaknya telah menerima  11,000 hasil fotografi dengan lebih daripada 2,500 gambar dimuat naik itu diluluskan mengikut kriteria kreatif ditetapkan.

"Melalui sumbangan tersebut, lebih RM9,000 insentif telah dibuat kepada pihak penyumbang yang telah berdaftar. Program ini telah bermula akhir tahun 2016 lalu, sehingga kini kita telah melatih 2,000 peserta.

"Mynic secara tidak langsung  telah membentuk generasi cakna digital yang boleh menyesuaikan pelbagai bidang kemahiran terutamanya fotografi untuk dijadikan sebagai sumber pendapatan pasif berterusan melalui keusahawan dalam talian," ujarnya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment