'Syukur, masih ada insan jujur'

Sunday, March 4, 2018

'Syukur, masih ada insan jujur'

'Syukur, masih ada insan jujur'

KEPALA BATAS: "Tangan saya menggeletar membuka dompet itu kerana teringat pesan ibu yang melarang mengambil barang kepunyaan orang lain."

Kelmarin, Muhd Asri Abdul Rahman, 36, menemui sebuah dompet di tengah jalan sebelum meneruskan perjalanan ke tempat kerja.

Pembantu awam di Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) itu menemui dompet berkenaan kira-kira jam 2.45 petang dalam perjalanan ke tempat kerja di Depoh Tasek Gelugor.

Perkara yang menarik perhatiannya ialah wang kertas bersusun dalam dompet berkenaan.

"Mulanya saya hanya nampak dompet namun selepas menoleh sekali lagi, saya lihat wang kertas tebal bersusun.

"Saya terus ambil dompet itu kerana bimbang orang lain tidak memulangkannya kepada pemilik sebenar.

"Tiba di pejabat, saya buka dompet itu dan memberitahu rakan lain," katanya.

Bapa kepada dua anak berusia empat dan 11 tahun itu kemudian menemui kad perniagaan pemilik dompet berkenaan, Kamaruzzaman Kamarudin, 30, sebelum menghubunginya.

Muhd Asri berkata, mereka berjumpa kira-kira jam 8 malam dan beliau memulangkan dompet berkenaan.

Sementara itu, Kamaruzzaman bagai tidak percaya kerana masih ada insan berhati mulia dan jujur memulangkan dompetnya.

Beliau yang bekerja sebagai perunding perkahwinan berkata, wang terbabit adalah untuk membayar bil dan membeli barang keperluan.

"Saya hanya menyedari dompet tiada ketika turun dari kereta di sebuah pasar raya.

"Ketika itu, saya hanya reda dan memikirkan wang berkenaan pastinya lesap diambil orang.

"Saya langsung tidak menyangka ada insan berhati mulia memulangkan dompet tanpa menyentuh sesen pun wang di dalamnya," katanya.

Kamaruzzaman berkongsi kisah itu dengan memuat naik gambar mereka dalam akaun Facebook miliknya dan terkejut apabila ia tersebar luas.

"Saya berkongsi kisah itu kerana mahu orang tahu masih ada insan jujur di dunia ini,' katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment