Mangsa pokok tumbang boleh tuntut pampasan

Tuesday, March 6, 2018

Mangsa pokok tumbang boleh tuntut pampasan

Mangsa pokok tumbang boleh tuntut pampasan

KUALA LUMPUR: Mangsa kejadian pokok tumbang di Jalan Ampang semalam, boleh membuat tuntutan pampasan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz, berkata mangsa terbabit boleh membuat tuntutan mengikut prosedur ditetapkan.

Katanya, tuntutan membabitkan kes seumpama itu adalah perkara sedia ada dalam insuran yang dinamakan Tanggungan Awam (public liabiliti).

"Jadi mangsa boleh membuat tuntutan mengikut prosedur di Jabatan Lanskap DBKL.

"Mangsa perlu menyerahkan dokumen lengkap yang diperlukan seperti bil kerosakan harta benda dan bil hospital. Jabatan terbabit akan memberi penerangan kepada mangsa untuk membuat proses tuntutan," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Mhd Amin berkata, setiap pokok di Kuala Lumpur adalah dilindungi insurans.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.43 pagi semalam, sepasang suami isteri yang menaiki motosikal merempuh sebatang pokok tumbang di Jalan Ampang berdekatan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini.

Akar yang reput dikenal pasti punca pokok spesies Hujan-Hujan berusia 130 tahun dengan ukur lilit bersaiz 4.65 meter itu tumbang.

Mangsa, Norazrul Ahmad, 37, mengalami kecederaan parah, manakala isterinya, Mira Ezva Abd Rasid, 25, cedera ringan selepas terlanggar pokok berkenaan.

Ketika ditanya berhubung tindakan undang-undang yang mungkin diambil keluarga mangsa, Mhd Amin berkata, DBKL sedia memberi kerjasama.

"Jika mangsa mahu mengambil tindakan undang-undang, kita akan tunggu keputusan mahkamah. Namun, jika mangsa hanya membuat tuntutan berasakan insuran, DBKL sedia membayar mengikut prosedur," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment