Jumlah dagangan Malaysia melonjak

Monday, March 5, 2018

Jumlah dagangan Malaysia melonjak

Jumlah dagangan Malaysia melonjak

JUMLAH perdagangan Malaysia pada Januari 2018 melonjak 14.9 peratus kepada RM156.01 bilion berbanding Januari 2017, demikian menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

MITI berkata, pertumbuhan perdagangan direkodkan dengan ASEAN, Hong Kong, Kesatuan Eropah (EU), China, India, Taiwan dan Korea Selatan.

“Eksport merekodkan pertumbuhan tahun ke tahun yang lebih kukuh berbanding import, dengan  pertumbuhan dua digit pada 17.9 peratus kepada RM82.86 bilion.

“Ini eksport bulan Januari tertinggi setakat ini, mengatasi RM70.27 bilion direkodkan pada Januari 2017,” menurut MITI dalam satu laporan perangkaan perdagangan luar Malaysia yang dikeluarkannya semalam.

MITI berkata, sementara itu import berkembang 11.6 peratus kepada  RM73.15 bilion, meng-hasilkan lebihan dagangan sebanyak RM9.71 bilion.

Lebihan  dagangan ini adalah yang ke-243 bulan berturut-turut direkodkan sejak November 1997.

“Berdasarkan perbandingan bulan  ke bulan, jumlah perdagang-an, eksport dan import masing-masing berkembang 3.0 peratus, 4.4 peratus dan 1.5 peratus,” menurutnya.

Tambahnya,  prestasi eksport yang kukuh pada  Januari 2018 dipacu oleh pertumbuhan eksport semua sektor utama dengan eksport  barangan perkilangan merekodkan pertumbuhan dua digit tahun ke tahun sebanyak 20.4 peratus manakala  hasil galian dan keluaran pertanian masing-masing berkembang 8.5 peratus dan 6.2 peratus.

Pada  Januari 2018, eksport barangan  perkilangan bernilai RM68.34 bilion, merangkumi 82.5 peratus daripada jumlah eksport Malaysia, menurut kementerian itu.

Penyumbang  utama peningkatan  ialah barangan elektrik dan elektronik yang meningkat 27.1 peratus; kimia dan bahan kimia (+23.4 peratus); barangan besi dan keluli (+60.9 peratus); barangan optik dan saintifik (+18 peratus); barangan perkilangan logam (+14.8 peratus) serta kelengkapan pengangkutan (+32 peratus).

MITI berkata, eksport  hasil galian berkembang 8.5 peratus kepada RM7.25 bilion disumbangkan oleh pertumbuhan eksport gas asli cecair berikutan kenaikan nilai unit purata dan kuantiti.

“Eksport  keluaran pertanian naik 6.2 peratus kepada RM6.51 bilion didorong kenaikan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit. Eksport minyak sawit meningkat 10.1 peratus​​​​​​​ kepada RM3.92 bilion berikutan kenaikan kuantiti,” menurutnya.

Sementara itu, import pada Januari 2018 meningkat 11.6 peratus tahun ke tahun kepada RM73.15 bilion berbanding RM65.53 bilion pada Januari 2017.

MITI berkata, tiga  kategori utama import mengikut penggunaan akhir adalah barangan pengantara, barangan modal dan barangan penggunaan.

Barang pengantara, bernilai RM37.73 bilion atau  51.6 peratus daripada jumlah import, susut 1.7 peratus, berikutan pengurangan import alat ganti dan aksesori bagi barang modal (kecuali kelengkapan pengangkutan) terutamanya bagi barangan jentera dan kelengkapan elektrik; barangan modal, bernilai RM9.3 bilion atau 12.7 peratus daripada  jumlah import, turun 3.1 peratus, disebabkan oleh pengurangan import kelengkapan pengangkutan untuk industri, khasnya kapal, bot dan struktur terapung.

Manakala bagi barang penggunaan pula, dagangan bernilai RM6.31 bilion atau 8.6 peratus daripada jumlah import, meningkat sebanyak 9.8 peratus, hasil daripada  kenaikan import barangan makanan dan  minuman diproses, terutamanya barangan yang berasaskan pastri.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment