Iyat Burnat kongsi pengalaman lawan Israel

Sunday, March 11, 2018

Iyat Burnat kongsi pengalaman lawan Israel

Iyat Burnat kongsi pengalaman lawan Israel

BANGI: Aman Palestin akan mengadakan Jelajah Iyat Burnat - Pertentangan Tanpa Kekerasan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, bermula hari ini hingga 31 Mac ini.

Siri jelajah itu bermula di Kuala Kangsar, seterusnya ke selatan tanah air, Sabah dan Sarawak, Pantai Timur dan kembali ke utara semula iaitu di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan berakhir di Bangi.

Pengurus Aman Palestin Cawangan Perak merangkap Pengarah Jelajah itu, Khairul Amin Ibrahim, berkata program penjelajahan kali ini berbeza kerana mereka tidak memainkan sentimen agama tetapi membawa aktivis Palestin, Iyat Burnat, 44, untuk berkongsi pengalamannya yang sepanjang hayat berjuang menentang keganasan rejim Zionis di bumi Palestin.

Khairul Amin berkata, selama ini masyarakat luar tidak didedahkan perkara sebenar yang berlaku di sana kerana laporan media dikawal.

"Iyat pernah dipenjara pada usia 17 tahun dan selepas dibebaskan dia terus berjuang mempertahankan kampung halamannya di Belin, Area B di Tebing Barat, Palestin. Sekarang anak lelakinya pula mengulang nasib sama sepertinya. Anak sulung dan ketiga ditembak. Anak keduanya dipenjara," katanya ketika ditemui di ibu pejabat Aman Palestin di sini, hari ini.

Iyat mempunyai lima anak berusia 4 hingga 19 tahun.

Khairul Amin berkata, pada 2004, abang Iyat dan rakan-rakannya mula merakamkan setiap tragedi yang berlaku di sana termasuk kehidupan seharian mereka yang tidak pernah aman.

"Pada 2013, mereka menerbitkannya sebagai satu dokumentari berdurasi 90 minit bertajuk 'Five Broken Camera' kerana sepanjang proses rakaman itu, lima kamera dimusnahkan rejim Zionis. Dokumentari itu akan ditayangkan sepanjang siri jelajah itu.

"Dokumentari itu pernah dicalonkan pada Anugerah Oscar pada tahun ia diterbitkan," katanya.

Iyat akan pulang ke Palestin selepas berakhirnya siri jelajah itu.

Menerusi siri jelajah itu, Aman Palestin menyasar kutipan dana sebanyak RM500,000.

"Kami berharap dana itu dapat dikumpulkan sebelum Ramadan ini agar dapat disalurkan ke Palestin sebelum kedatangan bulan mulia itu. Aman Palestin juga akan menganjurkan majlis tahunan iaitu Ramadan Bersama Palestin yang diadakan sepanjang Ramadan ini," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment