Imigresen serbu premis warga asing

Sunday, March 11, 2018

Imigresen serbu premis warga asing

Imigresen serbu premis warga asing

KUALA TERENGGANU: Beberapa premis di sekitar bandar raya ini dikesan dimiliki oleh warga asing yang menjalankan perniagaan didaftarkan atas nama isteri dan keluarga yang juga warga tempatan.

Malah, ada warga asing yang didapati sengaja melanggar syarat lesen perniagaan apabila membuka premis 'rojak' demi mengaut keuntungan berganda.

Bagaimanapun, sikap tamak warga Myanmar terbabit memonopoli empat jenis perniagaan dalam satu premis berjaya dibongkar Jabatan Imigresen Terengganu yang menjalankan 'Ops Belanja', hari ini.

Operasi diketuai Ketua Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Mohd Yassin Mohd Yusof, dilakukan bersama 12 anggota bermula jam 3 hingga 6 petang tadi.

Operasi yang dijalankan secara bersepadu itu turut disertai 10 anggota dan pegawai Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan lima kakitangan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Dalam operasi berkenaan, lelaki berusia 32 tahun itu didapati menjadikan premis yang didaftarkan atas nama iparnya iaitu wanita tempatan sebagai tempat menjual pakaian, aksesori telefon dan jam tangan, barangan runcit, makanan serta sayur-sayuran dan kedai makan.

Pengarah Imigresen negeri, Rahim Hanafi, berkata operasi itu bertujuan menangani masalah kebanjiran warga asing selain mengelak premis di sekitar bandar dimonopoli warga asing.

"Selain bandar Kuala Terengganu, kita juga akan melakukan operasi sama di daerah lain bagi memastikan premis di negeri ini tidak dimonopoli warga asing," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan tertumpu di premis dan kedai milik warga asing kerana majoriti peniaga terbabit bijak menarik pelanggan daripada kalangan warga asing dengan menyediakan pelbagai perkhidmatan.

"Malah, ada premis yang khusus menyediakan produk dan menu makanan negara mereka," katanya.

Beliau berkata, lelaki terbabit yang mengahwini wanita tempatan ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.

Dalam operasi selama tiga jam itu, Imigresen turut menahan seorang lelaki Myanmar berusia 18 tahun yang berjaya melarikan diri ketika pemeriksaan dilakukan di premis hadapan Kompleks Hentian Bas MBKT.

Bagaimanapun, usaha lelaki terbabit gagal apabila dia ditahan anggota yang mengejarnya kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.

Dalam operasi itu, seramai 67 warga asing diperiksa dan enam daripada mereka berusia antara 18 hingga 35 tahun ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) kerana masuk dan tinggal secara haram di negeri ini.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment