Hapuskan rasuah, terus usaha naikkan imej sukan negara
TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu melihat imej sukan negara lebih cemerlang dan bersih di masa hadapan tanpa dinodai isu rasuah, terutamanya gejala mengatur perlawanan yang dilihat akan membantutkan perkembangan atlet.
âKita lihat sukan kita sering tercalar dengan pelbagai perkara yang merosakkan susu sebelanga, antaranya apabila dalam perlawanan bola sepak perlawanan itu dijual dan bookies memainkan peranan utama kejayaan bukan bakat, kemahiran dan kesungguhan (atlet).
âIni sudah tentunya tidak adil kepada ahli-ahli sukan dan rakyat Malaysia yang merupakan pendukung dan peminat sukan negara,â katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum menyampaikan anugerah kepada para penerima Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2017 di sini, malam ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berjanji akan memastikan Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia berada di barisan hadapan dalam membanteras gejala tersebut dalam kalangan atlet negara.
Turut hadir, pengerusi Majlis Olimpik Malaysia Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar.
Ahmad Zahid berkata kerajaan, selain badan-badan dan persatuan-persatuan sukan negara, memberi komitmen yang tinggi dalam meletakkan satu mercu tanda yang baik kepada imej sukan, maka gejala seperti rasuah perlu ditangani secara bersama.
âBiarlah hanya mereka yang bersih dan mereka yang berbakat berdasarkan kepada latihan berada di persada kejuaraan,â katanya.
Dalam perkembangan sama, timbalan perdana menteri berkata dalam merealisasikan matlamat negara untuk menghasilkan lebih ramai jaguh sukan, Kementerian Belia dan Sukan akan diberi peruntukan lebih besar.
âJaguh sukan bukan lahir kerana ia disebabkan keturunan, kejaguhan sukan dan ketokohan seseorang itu dimunculkan kerana latihan-latihan berterusan dan bersungguh-bersungguh.
"Maka pada hemat saya, ia harus dilaksanakan dengan berstruktur dan berkesinambungan, ia mesti ada konsisten dan tentunya KBS , insya-Allah akan diberi peruntukan lebih besar,â katanya.
Dalam memacu sektor sukan ke hadapan, Ahmad Zahid turut melahirkan harapan supaya KBS dan badan-badan sukan untuk terus memainkan peranan ke hadapan.
âApatah lagi menjelang 2050 kita akan letak negara kita sebagai âtop 20 nation in the worldâ. Jadi diharap tempoh berbaki 32 tahun akan digunakan sepenuhnya untuk letak mercu tanda lebih gemilang,â katanya.
Majlis tahunan itu menyaksikan jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang dan juara dunia olahraga para, Muhammad Ziyad Zolkefli dinobatkan sebagai penerima anugerah utama iaitu Anugerah Atlet Terbaik dan Atlet Paralimpik Terbaik.
Selain itu, atlet cilik sukan ski air, Aaliyah Yoong Hanifah dipilih sebagai penerima Anugerah Atlet Muda, manakala pasukan boling elit wanita dan pemain golf profesional negara, Gavin Kyle Green dinamakan sebagai penerima Anugerah Khas.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pula dipilih sebagai penerima Anugerah Persatuan Dinamik.
Pada majlis itu, SAM turut memberi penghargaan kepada Presiden Majlis Olimpik Malaysia Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar sebagai menghargai sumbangannya terhadap pembangunan sukan di negara ini.
Pengiktirafan turut diberikan kepada pengamal media sukan yang menyaksikan antara lain wartawan dan jurukamera Bernama News Channel iaitu Muhammad Afiff Md Adnan dan Muhammad Salim dinobatkan sebagai pemenang kategori Laporan Berita Terbaik Media Elektronik.
Selain mereka, beberapa lagi pengamal media dipilih sebagai pemenang bagi kategori Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka) dan Fotografi Sukan Terbaik. - Bernama
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment